China mungkin ambil kesempatan atas krisis Ukraine, dakwa Jeneral AS

China mungkin ambil kesempatan atas krisis Ukraine, dakwa Jeneral AS

China dilihat bersekutu dengan Rusia dalam krisis berkenaan dan secara tidak langsung menimbulkan persoalan berhubung niat mereka di Asia.

Seorang tentera Ukraine membawa senjata anti kereta kebal NLAW semasa latihan tentera di wilayah Donetsk pada hari Selasa. (Gambar AP)
SINGAPURA:
Seorang jeneral Amerika Syarikat (AS) memberi amaran bahawa China mungkin mengambil kesempatan terhadap krisis Ukraine dan melakukan sesuatu “provokatif” di Asia ketika kuasa Barat memberi tumpuan dalam meredakan ketegangan dengan Rusia.

Penempatan lebih 100,000 tentera Rusia di sempadan Ukraine telah mencetuskan kebimbangan di Washington dan ibu negara Barat lain tentang pencerobohan yang semakin hampir.

Ketua Tentera Udara Pasifik AS, Jeneral Kenneth Wilsbach, berkata China dilihat bersekutu dengan Rusia dalam krisis berkenaan dan secara tidak langsung menimbulkan persoalan berhubung niat mereka di Asia.

“Dari sudut pandangan, adakah China melihat apa yang berlaku di Eropah… dan cuba melakukan sesuatu di Indo-Pasifik. Ia benar-benar menimbulkan kebimbangan.

“Saya khuatir mereka akan mengambil kesempatan,” tambahnya ketika bercakap kepada pemberita pada acara Singapore Airshow.

“Ia tidak mengejutkan jika mereka cuba melakukan sesuatu yang bersifat provokasi untuk melihat reaksi komuniti antarabangsa,” katanya.

Wilsbach berkata, ketika Beijing menyatakan sokongan kepada Rusia, beliau mengadakan perbincangan dengan kakitangannya serta ‘entiti’ lain berhubung implikasi yang bakal berlaku.

Berpangkalan di Hawaii, pasukan Wilsbach memainkan peranan penting jika konflik tercetus di rantau Pasifik.

Sejak beberapa tahun lalu, Beijing dipersalahkan kerana menimbulkan ketegangan di rantau berkenaan dengan memperkasakan kawalan ke atas pulau utama di Laut China Selatan.

Beijing turut menuntut hampir keseluruhan perairan berkenaan, namun tuntutan itu bertindih dengan Taiwan serta empat negara lain di Asia Tenggara iaitu Malaysia, Brunei, Filipina dan Vietnam.

Walaupun AS dan negara Barat lain tidak mempunyai tuntutan di sana, mereka bimbang kawalan China akan melanggar kebebasan pelayaran di laluan air strategik itu.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, China juga telah meningkatkan tekanan ke atas Taiwan – yang dilihatnya sebagai wilayahnya – dengan menghantar jet pejuang ke zon pengenalan pertahanan udara pulau itu.

Wilsbach mendakwa, apabila China melihat krisis yang berlaku, negara berkenaan mempertimbangkan sama ada ia adalah peluang untuk meraih keuntungan.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan kemungkinan yang akan dilakukan China ketika krisis Ukraine tercetus.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.