
Beliau berkata dengan kerjasama penduduk tempatan dan sokongan kerajaan pusat, pelaksanaan dasar ‘satu negara, dua sistem’ di HK terbukti berjaya dan turut diiktiraf umum.
“Sistem yang merekodkan sejarah baharu itu bertujuan untuk memelihara kedaulatan, keselamatan, kepentingan pembangunan negara, sekali gus menjamin kemakmuran serta kestabilan HK dan Macau dalam jangka panjang.
“Segala usaha kerajaan pusat adalah untuk kepentingan negara dan membawa manfaat kepada HK dan Makau, serta penduduk tempatan,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-25 Kepulangan HK ke China dan Majlis Pelantikan Jawatan Kerajaan Keenam Wilayah Pentadbiran Khas HK (HKSAR) di sini, pagi tadi.
Beliau turut mengimbau ucapannya pada acara sama lima tahun lalu bahawa dua panduan harus dipegang dalam mengamalkan dasar ‘satu negara, dua sistem’ , iaitu dasar itu tidak akan berubah dan dilaksanakan dengan tepat dan komprehensif.
Tegasnya, dasar itu telah terbukti berjaya dan bersesuaian dengan kepentingan asas negara dan bangsa China, selain turut mendapat sokongan meluas penduduk HK dan Macau serta pujian masyarakat antarabangsa.
Justeru katanya, tiada alasan untuk mengubah dasar sebaik itu dan ia mesti terus dikekalkan.
Selain itu katanya, dasar ‘patriot mentadbir HK’ juga perlu diteruskan, sementara kedudukan dan keutamaan HK yang istimewa harus dikekalkan.
“Cita-cita terbesar penduduk HK adalah untuk menikmati kehidupan yang lebih sejahtera. Maka penyempurnaan sistem pentadbiran, daya dan keberkesanan tadbir urus kerajaan tempatan amat diperlukan,” katanya.
Xi turut yakin HK mampu memberikan sumbangan lebih besar dalam pembangunan negara dan kebangkitan nusa dan bangsa China.
Presiden Xi dan isteri, Peng Liyuan tiba di HK semalam dengan menaiki kereta api.
Satu majlis sambutan telah diadakan di Stesen Kereta Api Kowloon Barat dan Xi turut menyampaikan ucapan serta beramah mesra dengan penduduk tempatan.
Dalam ucapannya Xi berkata pihaknya akan memastikan HK akan terus mengecapi pembangunan dan bertambah maju pada masa akan datang.
Beliau turut meluangkan masa melawat Taman Sains HK, iaitu pangkalan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembangunan perusahaan terbesar di HK.