
ISLAMABAD: Mahkamah di Pakistan memutuskan akan mendakwa bekas Perdana Menteri Imran Khan atas tuduhan menghina mahkamah, kata peguamnya dan badan penyiar tempatan.
Sekiranya didapati bersalah, ini berkemungkinan menjejaskan kerjaya politiknya.
Diminta mengulas perkara itu ketika meninggalkan kamar mahkamah, Imran berkata: “Apa lagi? Sekarang mereka (hakim) perlu membuat keputusan.”
Imran didakwa mengugut seorang hakim yang menolak permohonan jaminan untuk seorang pegawainya yang menghadapi tuduhan penderhakaan.
“Mahkamah telah memutuskan untuk mendakwanya,” kata peguam Imran, Faisal Chaudhry dengan menambah prosiding akan melibatkan lima hakim.
Katanya, mahkamah akan menuduh Imran dalam prosiding pada 22 September.