Kerajaan Thai, BRN rangka deraf perjanjian rundingan damai

Kerajaan Thai, BRN rangka deraf perjanjian rundingan damai

Deraf itu mengandungi syarat seperti gencatan senjata dan jaminan keselamatan dan kekebalan wakil BRN.

Sejak 2004, lebih 7,000 nyawa melayang akibat kitaran keganasan di selatan Thailand terutama di Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla. (Gambar Reuters)
BANGKOK:
Kerajaan Thailand dan Barisan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan bersenjata paling berpengaruh di selatan Thailand, sedang merangka satu deraf perjanjian termasuk gencatan senjata agar rundingan damai dapat diteruskan.

Dalam kenyataan, BRN berkata deraf itu mengandungi syarat seperti gencatan senjata dan jaminan keselamatan dan kekebalan wakil BRN yang akan kembali ke tanahair untuk mengadakan konsultasi dengan penduduk tempatan.

“Deraf perjanjian ini masih dalam peringkat perbincangan and ianya penting untuk menamatkan konflik dan mewujudkan keamanan berpanjangan di selatan Thailand.

“Ia (deraf perjanjian) diumumkan sebelum rundingan seterusnya di mana kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak sebagai fasilitator sehingga boleh membawa perubahan positif kepada proses perdamaian di selatan Thailand,” katanya.

BRN berkata pertemuan antara ketua perunding Jeneral Wanlop Rugsanaoh dan BRN dijangka diadakan tidak lama lagi.

Dalam kenyataan itu, BRN berkata ia tidak pernah menolak rundingan damai.

“BRN komited untuk mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Rundingan antara kerajaan dan pemberontak yang bermula, pada 2013, untuk membawa keamanan terhenti berikutan rampasan kuasa tentera di Thailand setahun kemudian. Rundingan diteruskan kemudian tanpa pihak utama termasuk BRN.

Bagaimanapun, rundingan antara kerajaan Thailand dan BRN bermula pada 2019. Ia telah mencapai kemajuan konkrit dan penting yang membawa harapan untuk menamatkan keganasan di wilayah sempadan selatan Thailand selepas siri mesyuarat.

Bekas ketua polis negara Malaysia, Rahim Noor, yang mewakili kerajaan Malaysia, bertindak sebagai fasilitator untuk rundingan damai di selatan Thailand.

Statistik oleh kumpulan pemantau bebas Deep South Watch menunjukkan kitaran keganasan yang tidak henti-henti di selatan Thailand, bermula pada 2004 di Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla, yang telah meragut lebih 7,000 nyawa setakat ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.