
“Seramai 170 orang ditahan dalam operasi hari ini,” lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Jabatan Siasatan Khas Polis di Twitter.
Sementara itu, Bolsonaro dalam ciapannya, berkata “demonstrasi aman mengikut undang-undang merupakan sebahagian daripada demokrasi. Namun, pemusnahan dan pencerobohan bangunan awam seperti yang berlaku hari ini serta yang diamalkan oleh kumpulan fahaman kiri pada 2013 dan 2017,” melanggar undang-undang.
Laporan itu menyebut Bolsonaro yang meninggalkan negara itu ke Orlando Florida AS dua hari sebelum pelantikan Luiz Inacio Lula da Silva sebagai presiden pada 1 Jan, menulis di Twitter, “sepanjang mandatnya beliau sentiasa mematuhi Perlembagaan, menghormati dan mempertahan undang-undang, demokrasi, ketelusan dan kebebasan suci.”
Bolsonaro juga menafikan tuduhan tanpa bukti yang dilemparkan terhadapnya dan yang dikaitkan dengannya oleh ketua eksekutif Brazil sekarang.
Penafian itu dibuat susulan kenyataan Lula dalam sidang akhbar pada Ahad yang mendakwa ahli politik sayap kanan itu menggalakkan tindakan sedemikian dalam beberapa ucapannya.
Selepas Lula memenangi pilihan raya Oktober lalu, penyokong Bolsonaro melakukan demonstrasi, ramai yang menyekat lebuh raya di seluruh negara dan mendesak agar tentera campur tangan terhadap pemimpin berhaluan kiri itu, menurut agensi berita Anadolu.
Pada Ahad, penyokong Bolsonaro menceroboh dan menggeledah tiga bangunan kerajaan di ibu negara Brasilia – Istana Planalto atau pejabat Presiden, Kongres dan Mahkamah Persekutuan.