
Dua tuduhan paling serius iaitu bersubahat dalam pembunuhan bersifat pengganas melibatkan dua rakan kepada pelarian Chechnya yang membunuh guru berkenaan, Samuel Paty, selepas mangsa menunjukkan gambar Nabi Muhammad kepada pelajarnya, menurut dokumen kes itu.
Abdullakh Anzorov, 18, ditembak mati polis selepas membunuh Paty di Conflans-Sainte-Honorine, Paris.
Pendakwa percaya dua rakannya Azim Epsirkhanov dan Naim Boudaoud mengikut Anzorov membeli pisau. Naim turut mengikut Abdullakh ke sekolah berkenaan.
Enam dewasa lain turut akan dibicarakan kerana bersekutu dengan militan, termasuk bapa kepada seorang pelajar perempuan di sekolah Paty. Selain itu, enam remaja akan dihadapkan ke mahkamah kanak-kanak kerana didakwa melakukan pemantauan di sekitar sekolah itu dan mengenal pasti Paty untuk pembunuhnya.
Paty disasarkan selepas tular di media sosial bahawa dia menunjukkan kartun memaparkan Nabi Muhammad daripada majalah satira, Charlie Hebdo, kepada pelajar dalam kelasnya.
Guru sejarah dan geografi berusia 47 tahun itu menggunakan majalah berkenaan untuk perbincangan undang-undang kebebasan bersuara dalam kelas etika.
Paty kini menjadi simbol perjuangan nilai-nilai sekular Perancis.