
Presiden Burkina Faso dalam kenyataan, berkata semua negara itu komited memerangi apa jua bentuk keganasan dan jenayah berkumpulan terancang di sempadan.
Dikenali dengan “Perikatan Negara Sahel”, ketiga-tiga pihak bersetuju untuk membantu antara satu sama lain, termasuk dari segi ketenteraan, andai berlaku serangan ke atas mana-mana pihak.
“Menggunakan pendekatan ketenteraan untuk menangani situasi gangguan keamanan dan kestabilan juga akan dilakukan apabila perlu.
“Objektif perikatan ini adalah untuk mewujudkan benteng pertahanan secara kolektif dan bantuan bersama untuk faedah penduduk tiga negara,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Turut dikenali sebagai piagam Liptako-Gourma, perjanjian itu menunjukkan bahawa “sebarang serangan ke atas kedaulatan dan integriti wilayah satu atau lebih pihak akan dianggap sebagai pencerobohan terhadap pihak lain.”
Sebelum ini, ketiga-tiga negara itu bersama dengan Chad dan Mauritania sepakat menyatukan pasukan dalam “Gabungan untuk Sahel” bagi memerangi pemberontak pelampau di wilayah Sahel.
Zon sempadan antara Mali, Burkina Faso, dan Niger menunjukkan ancaman pelampau paling serius di Afrika.
Wilayah Sahel di sub-Sahara Afrika kini menjadi pusat keganasan, menyumbang lebih banyak korban akibat keganasan pada 2022, menurut Indeks Keganasan Global (GTI) 2023.
Burkina Faso menduduki tempat pertama di benua itu dan kedua paling terjejas di seluruh dunia disebabkan keganasan.