PM Israel isytihar perang

PM Israel isytihar perang

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata Israel kini sedang berperang selepas pejuang Hamas melancarkan serangan roket.

Serangan roket yang dilancarkan Hamas dari Semenanjung Gaza menyebabkan sekurangnya 20 warga Israel dilaporkan terbunuh manakala lebih 540 orang cedera. (Gambar AP)
JERUSALEM:
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menyatakan bahawa Israel “kini sedang berperang” selepas serangan Hamas ke atas Israel dan penduduknya, lapor Agensi Anadolu.

“Kita berada dalam keadaan berperang, bukan operasi tentera. Hamas melancarkan serangan mematikan secara bertalu-talu terhadap Israel dan rakyatnya,” kata pemimpin Israel itu dalam satu kenyataan.

Netanyahu mengarahkan “pasukan Israel untuk membersihkan pusat bandar daripada pengganas” dan juga memerintahkan “rizab tentera digerakkan secara besar-besaran.”

“Musuh akan berdepan akibat yang belum pernah terjadi sebelum ini,” kata Netanyahu.

Stesen Penyiaran Israel melaporkan bahawa Menteri Pertahanan Yoav Galant mengerah pasukan simpanan selepas mengumumkan persiapan untuk menghadapi situasi perang.

Israel mengisytiharkan “kesiapsiagaan” untuk perang selepas kumpulan Palestin di Semenanjung Gaza melancarkan serangan roket ke atas Israel pada awal Sabtu, lapor Israel Broadcasting Authority.

Roket dilancarkan dari pelbagai lokasi di kawasan terkepung itu, tetapi sistem pertahanan Iron Dome Israel dapat memintas kebanyakan serangan, menurut wartawan AA.

Sekurang-kurangnya 20 pendatang Israel dilaporkan terbunuh manakala lebih 540 orang cedera setakat ini, menurut laporan media Israel.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.