Parlimen Ireland dijangka bahas usul usir duta, rujuk Israel ke ICC

Parlimen Ireland dijangka bahas usul usir duta, rujuk Israel ke ICC

Usul itu turut menyeru kerajaan Ireland melobi bagi menggantung Perjanjian Persatuan EU-Israel kerana tidak mematuhi klausa hak asasi manusia di dalamnya.

Usul Demokrat Sosial itu turut mendesak sekatan ekonomi terhadap Israel dan merujuk rejim Zionis ke ICC untuk menyiasat sama ada ia melakukan jenayah perang ke atas Gaza (Gambar AP)
LONDON:
Parlimen Ireland dijangka mengadakan undian terhadap usul mengusir duta Israel pada minggu depan, lapor Agensi Anadolu memetik media tempatan.

Media tempatan melaporkan Demokrat Sosial bersedia membawa usul itu ke Parlimen untuk menuntut kerajaan menarik balik status diplomatik Dana Erlich.

Usul itu turut mendesak sekatan ekonomi terhadap Israel dan merujuk rejim itu ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk menyiasat sama ada negara itu melakukan jenayah perang ke atas Gaza.

Pemimpin Demokrat Sosial, Holly Cairns berkata masyarakat antarabangsa dilihat mempunyai sikap berten­tangan atau “ambivalen” dengan penderitaan rakyat Gaza.

“Usul kami menyeru kerajaan Ireland melobi bagi menggantung Perjanjian Persatuan EU-Israel kerana tidak mematuhi klausa hak asasi manusia dalam perjanjian perdagangan itu. EU juga harus menggantung akses Israel kepada €95 bilion dana Horizon Europe untuk penyelidikan dan inovasi.

“Memandangkan kegagalan Israel menghentikan serangan terhadap penduduk awam, wartawan, kakitangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan pekerja kesihatan, maka kerajaan mesti menarik balik status diplomatik duta Israel ke Ireland.”

Akhbar Irish Examiner melaporkan parti terbesar di Ireland, Sinn Fein akan membawa usul merujuk Israel ke ICC.

Jurucakap hal ehwal luar Sinn Fein, Matt Carthy berkata Perdana Menteri, Leo Varadkar sebelum ini menyifatkan kegagalan Israel mematuhi undang-undang kemanusiaan tidak boleh dipandang remeh.

“Israel mesti bertanggungjawab kerana sengaja menyasar dan membunuh beribu-ribu orang awam, memusnahkan infrastruktur seperti hospital, sekolah dan masjid, memaksa penduduk berpindah dan menyekat bekalan air, makanan, bahan api serta bekalan penting lain kepada penduduk Gaza.

“Ireland juga harus menggunakan hak sebagai negara pihak kepada Statut Rom ICC untuk merujuk tindakan Israel kepada pendakwa mahkamah bagi tujuan meminta siasatan terhadap sebarang perlakuan jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai di Gaza sejak sebulan lalu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.