12 maut diserang tentera Israel di Hospital Indonesia

12 maut diserang tentera Israel di Hospital Indonesia

Hospital itu berterusan menjadi sasaran pengeboman Israel.

Terdapat 150 pesakit, 100 kakitangan perubatan, dan beribu-ribu orang yang kehilangan tempat tinggal berada di Hospital Indonesia. (Gambar AP)
BANDARAYA GAZA:
Sekurang-kurangnya 12 terbunuh dan ramai lagi cedera dalam serangan Israel ke atas Hospital Indonesia di utara Semenanjung Gaza, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Kementerian Kesihatan wilayah itu.

Menurut kementerian berkenaan, nyawa beribu-ribu pesakit, kakitangan perubatan, dan penduduk yang dipindahkan berada dalam risiko akibat pengeboman berterusan ke atas Hospital Indonesia itu.

Agensi Berita Palestin Wafa, sebelum ini melaporkan bahawa lapan orang terbunuh dalam serangan Israel ke atas hospital berkenaan.

Terdapat 150 pesakit, 100 kakitangan perubatan, dan beribu-ribu orang yang kehilangan tempat tinggal berada di kemudahan itu.

Saksi berkata, serangan tentera penceroboh Israel menyebabkan hospital berkenaan terputus bekalan elektrik selepas generatornya tidak dapat berfungsi.

Sejak Israel mula mengebom Gaza pada 7 Okt, sekurang-kurangnya 13,000 rakyat Palestin terbunuh, termasuk lebih 9,000 wanita, dan kanak-kanak, manakala lebih 30,000 lagi cedera, menurut angka terkini.

Beribu-ribu bangunan, termasuk hospital, masjid dan gereja turut rosak atau musnah akibat serangan udara dan darat yang berterusan.

Sekatan Israel juga menyebabkan Gaza terputus bekalan bahan api, elektrik dan air serta penghantaran bantuan berkurangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.