Hina monarki, Ahli Parlimen pembangkang Thailand dipenjara 6 tahun

Hina monarki, Ahli Parlimen pembangkang Thailand dipenjara 6 tahun

Rukchanok Srinork didapati bersalah atas dua hantarannya pada 2020 berkaitan monarki dan vaksin Covid-19 di aplikasi X.

Mahkamah Jenayah Bangkok menjatuhkan hukuman penjara enam tahun terhadap Ahli Parlimen pembangkang, Rukchanok Srinork kerana menghina monarki.(Gambar Instagram)
BANGKOK:
Seorang Ahli Parlimen pembangkang Thailand dijatuhi hukuman penjara enam tahun kerana menulis hantaran yang menghina monarki.

Mahkamah Jenayah Bangkok pada Rabu mendapati Ahli Parlimen Parti Move Forward (MFP) Rukchanok Srinork bersalah kerana menghina raja.

Ahli Parlimen berusia 29 tahun itu yang juga seorang aktivis didapati bersalah mengikut Seksyen 112 Kanun Jenayah dan Seksyen 14 (2) Akta Jenayah Komputer 2007.

Menurut kenyataan mahkamah, Rukchanok didapati bersalah atas dua hantarannya pada 2020 berkaitan monarki dan vaksin Covid-19 di platform media sosial Twitter yang kini dikenali sebagai X.

Beliau menafikan semua tuduhan.

Rukchanok dibenarkan diikat jamin 500,000 baht dengan syarat beliau tidak mengulangi kesalahan itu.

Menurut data Thai Lawyers for Human Rights (TLHR), sekurang-kurangnya 262 orang didakwa mengikut Seksyen 112 Kanun Jenayah sejak 2020 kerana menghina monarki.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.