
Menurut keputusan mahkamah, tertuduh dilucutkan hak politik seumur hidup dengan semua harta peribadinya akan dirampas.
Selain itu, keuntungan yang diperoleh secara haram akan didapatkan semula dan diserahkan kepada perbendaharaan negeri, lapor Xinhua.
Mahkamah Pertengahan Rakyat Huangshi mendapati Chen menyalah guna pelbagai jawatan disandangnya dari 2010 hingga 2023 termasuk berkaitan CFA, antaranya membantu individu lain dalam perkara berkaitan kontrak projek, operasi pelaburan, dan pengaturan acara sukan.
Sebagai balasan, beliau menerima wang tunai dan barang berharga bernilai lebih 81 juta yuan (kira-kira USD11.42 juta).
Menurut mahkamah, semasa berkhidmat di CFA, Chen cuba mendapatkan kelebihan yang tidak adil bagi beberapa kelab bola sepak dan persatuan bola sepak tempatan dalam pelbagai aspek seperti pengaturan acara sukan, kenaikan pasukan dalam liga dan keputusan pengadil.
Ini telah mengganggu persaingan adil dan keseimbangan industri, menyebabkan kemudaratan besar kepada pembangunan bola sepak negara.
Beliau juga didapati telah membantu individu lain dalam kenaikan pangkat dan pengaturan kakitangan.
Menurut mahkamah, kira-kira 4 juta yuan daripada nilai rasuah itu sebenarnya tidak diterima Chen.
Selain itu, Chen juga telah bekerjasama dalam siasatan dan mengembalikan keuntungan diperoleh secara haram yang juga diambil kira mahkamah dalam menjatuhkan hukuman.