Gunung Ibu letus 2 kali, muntah lahar merah

Gunung Ibu letus 2 kali, muntah lahar merah

Letusan pertama pada 1.30 pagi, disusuli letusan kedua pada 7.46 pagi tadi.

Aktiviti gunung berapi pada Khamis adalah yang terbaharu dalam siri letusan sejak bulan lalu. (Gambar PVMBG/Reuters)
JAKARTA:
Gunung Ibu meletus semula pada Khamis, memuntahkan lahar merah dan batu ke langit, menurut Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi Indonesia (PVMBG).

Pegawai PVMBG, Heruningtyas Desi Purnamasari memberitahu Reuters, gunung berapi setinggi 1,325m di Pulau Halmahera itu meletus dua kali hari ini.

Rakaman PVMBG menunjukkan letusan pertama pada 1.30 pagi tadi memuntahkan lahar dan batu, disusuli letusan kedua selama dua minit pada 7.46 pagi yang mengeluarkan abu setinggi 1,200m.

“Status amaran gunung berapi itu masih tahap empat atau tertinggi,” kata Heruningtyas.

PVMBG melarang sebarang aktiviti dalam jarak 7km dari kawah.

Aktiviti Gunung Ibu ini adalah yang terbaharu dalam siri letusan sejak bulan lalu. Gunung Ibu turut meletus Selasa lalu, memuntahkan abu setinggi 5km ke langit.

Pihak berkuasa memindahkan tujuh kampung berdekatan sejak 16 Mei lalu, tetapi tiada pemindahan baharu dirancang susulan letusan terbaharu hari ini.

Indonesia terletak dalam “Lingkaran Api” Pasifik yang aktif dari segi geologi dan mempunyai 127 gunung berapi aktif.

Bulan lalu, letusan Gunung Ruang di wilayah Sulawesi Utara menyebabkan lebih 12,000 orang terpaksa dipindahkan.

Bulan lalu, sekurang-kurangnya 60 maut akibat banjir kilat dan aliran lahar sejuk dari Gunung Marapi, antara gunung berapi paling aktif di Sumatera Barat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.