Menteri Israel mahu rakyat Palestin ‘mati kelaparan’, ICC dituntut keluar waran tangkap

Menteri Israel mahu rakyat Palestin ‘mati kelaparan’, ICC dituntut keluar waran tangkap

Menteri Kewangan Israel Bezalel Smotrich dilapor berkata membiarkan dua juta rakyat Palestin mati kebuluran mungkin 'wajar dan bermoral'.

bezalel
Kementerian Luar Palestin menyifatkan kenyataan Bezalel Smotrich menyokong hukuman kolektif terhadap orang awam Palestin melanggar undang-undang antarabangsa. (Gambar AFP)
ANKARA:
Palestin menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) agar mengeluarkan waran tangkap terhadap Menteri Kewangan Israel Bezalel Smotrich, susulan kenyataannya untuk membiarkan dua juta penduduk di Semenanjung Gaza maut akibat kebuluran, lapor Agensi Anadolu.

“Ini adalah pengakuan jelas tentang mengamalkan dan membanggakan dasar genosid,” kata Kementerian Luar Palestin dalam kenyataan.

Pada Isnin, Smotrich menyatakan membiarkan dua juta orang di Gaza mati kelaparan mungkin ‘wajar dan bermoral’.

Kementerian Luar Palestin mengecam gesaan menteri Israel itu sebagai ‘pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa dan prinsip asas kemanusiaan, cabaran jelas kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), serta langsung tidak mengendahkan keputusan legitimasi antarabangsa dan konsensus antarabangsa untuk melindungi orang awam dan menjamin keperluan asas kemanusiaan mereka’.

Kementerian itu turut menggesa ICC mengeluarkan waran tangkap ke atas Smotrich kerana menyokong hukuman kolektif terhadap orang awam Palestin.

Februari lalu, Amnesty International berkata, Israel mengingkari keputusan ICJ untuk mencegah genosid dengan gagal membenarkan bantuan kemanusiaan yang mencukupi sampai ke Gaza.

Israel telah mengenakan sekatan melumpuhkan ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober 2023, menyebabkan seluruh penduduk wilayah itu berada di ambang kebuluran.

Hampir 40,000 penduduk Palestin telah terbunuh sejak itu, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan lebih 91,600 cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.