Netanyahu mengaku lancar letupan alat kelui di Lubnan

Netanyahu mengaku lancar letupan alat kelui di Lubnan

Sekurang-kurangnya 26 maut dan lebih 3,200 lagi cedera apabila ribuan alat kelui meletup di beberapa kawasan di Lubnan pada 17 dan 18 Sept lalu.

Benjamin Netanyahu julung kali secara terbuka mengaku bertanggungjawab ke atas letupan besar-besaran peranti komunikasi tanpa wayar di Lubnan. (Gambar AP)
TEL AVIV:
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu julung kali mengaku bertanggungjawab ke atas letupan alat kelui besar-besaran yang menggegarkan Lubnan hampir dua bulan lalu, menurut Agensi Anadolu.

“Terdapat pegawai kanan dalam pentadbiran pertahanan dan eselon politik bertanggungjawab terhadap mereka yang menentang operasi alat kelui serta penghapusan (pemimpin Hizbullah) Hassan Nasrallah,” kata Netanyahu dalam mesyuarat Kabinet pada Ahad yang dipetik Channel 12 Israel, lapor Agensi Anadolu.

“Sebelum operasi alat kelui, mereka memberitahu saya bahawa Amerika Syarikat akan menentangnya, tetapi saya tidak mendengar mereka.”

Ini kali pertama seorang pegawai tinggi Israel secara terbuka mengaku bertanggungjawab ke atas letupan besar-besaran peranti komunikasi tanpa wayar di Lubnan.

Sekurang-kurangnya 26 maut dan lebih 3,200 lagi cedera apabila ribuan alat kelui meletup di beberapa kawasan di Lubnan pada 17 dan 18 Sept lalu.

Nasrallah dibunuh dalam serangan udara Israel di selatan Beirut pada 27 Sept lalu.

Serangan udara Israel di Lubnan bermula sejak akhir September atas alasan menyasarkan kedudukan Hizbullah, peningkatan dalam serangan rentas sempadan selama setahun sejak konflik Gaza bermula.

Lebih 3,100 terbunuh dan lebih 13,800 lagi cedera dalam serangan Israel sejak Oktober 2023, menurut pihak berkuasa kesihatan Lubnan.

Israel melancarkan serangan darat di selatan Lubnan 1 Okt lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.