Kadar tarif AS cetus kebimbangan global, kata menteri kewangan Jepun

Kadar tarif AS cetus kebimbangan global, kata menteri kewangan Jepun

Tarif dikenakan pentadbiran Donald Trump ke atas import Kanada, Mexico, dan China dikatakan mampu meningkatkan inflasi.

Japan Katsunobu Kato
Menteri Kewangan Jepun Katsunobu Kato amat bimbang dasar tarif terbaharu AS kepada ekonomi global. (Gambar EPA Images)
TOKYO:
Menteri Kewangan Jepun Katsunobu Kato menyuarakan kebimbangan serius terhadap kemungkinan kesan kadar tarif dikenakan Amerika Syarikat (AS) ke atas China, Kanada, dan Mexico, lapor agensi berita Kyodo.

Bercakap dalam sebuah program televisyen, Kato berkata, beliau “amat bimbang mengenai kemungkinan kesannya terhadap ekonomi global” serta menekankan keperluan untuk “menilai secara menyeluruh” pergerakan pertukaran asing dan prospek dasar monetari AS yang merupakan rakan dagang utama Jepun.

Pada Sabtu, Presiden AS Donald Trump mengarahkan pelaksanaan kadar tarif sebanyak 25% ke atas import dari Kanada dan Mexico, serta tambahan 10% ke atas barangan dari China.

“Kita perlu meneliti secara mendalam bagaimana Jepun mungkin terkesan secara khusus dan mengambil langkah yang sewajarnya,” kata Kato, merujuk sebahagiannya kepada kebimbangan inflasi susulan kadar tarif tinggi dikenakan pentadbiran Trump.

Sebagai tindak balas, Kanada akan melaksanakan kadar tarif sebanyak 25% ke atas import AS.

Presiden Mexico Claudia Sheinbaum, berkata beliau telah mengarahkan Menteri Ekonomi Marcelo Ebrard melaksanakan “langkah tarif dan bukan tarif” bagi melindungi kepentingan negara susulan kenaikan kadar tarif AS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.