9 maut 4 bot terbalik di China

9 maut 4 bot terbalik di China

Seorang masih hilang selepas empat bot terbalik di sebatang sungai di bandar Qianxi, wilayah Guizhou semalam akibat angin kencang.

Operasi mencari dan menyelamat giat dijalankan di lokasi kejadian empat bot terbalik di sebatang sungai di bandar Qianxi, barat daya China pada Ahad. (Gambar EPA Images)
GUIYANG:
Sembilan maut, manakala seorang masih hilang selepas empat bot terbalik di sebatang sungai di bandar Qianxi, wilayah Guizhou, barat daya China pada petang Ahad, lapor agensi berita Xinhua.

Menurut pihak berkuasa tempatan, 84 orang berada dalam bot itu ketika insiden berlaku.

Daripada jumlah itu, 70 sedang dirawat dan empat terselamat tanpa sebarang kecederaan.

Kejadian berlaku ketika angin kencang tiba-tiba melanda menyebabkan keempat-empat bot terbalik.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa hilang giat dijalankan dengan penyertaan hampir 500 anggota pasukan kecemasan termasuk polis, bomba dan pasukan perubatan.

Presiden China, Xi Jinping yang juga pengerusi Suruhanjaya Ketenteraan Pusat mengarahkan pihak berkuasa memperhebatkan usaha menyelamat, merawat mangsa cedera dan memberi sokongan kepada keluarga mangsa.

Beliau turut menekankan keperluan memperkukuh langkah keselamatan susulan siri kemalangan kebelakangan ini, termasuk di kawasan pelancongan, tempat awam, kawasan kediaman dan ketika musim perayaan.

Perdana Menteri, Li Qiang pula menyeru operasi menyelamat dan rawatan perubatan dilaksanakan sepenuhnya serta mengarahkan pemeriksaan keselamatan bagi mencegah kejadian sama berulang.

Timbalan Perdana Menteri, Zhang Guoqing melawat lokasi kejadian bagi memantau usaha menyelamat dan bantuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.