
Pasukan kemanusiaan PBB di Gaza memaklumkan pelan Israel itu melanggar prinsip asas kemanusiaan dan dilihat “dilaksanakan untuk mengukuhkan kawalan ke atas barangan keperluan asas sebagai taktik tekanan – sebahagian daripada strategi ketenteraan”.
Mekanisme penghantaran yang dicadangkan itu memerlukan kelulusan PBB untuk mengagihkan bekalan melalui pusat pemeriksaan Israel di bawah syarat ditetapkan tentera rejim Zionis.
Pasukan PBB memberi amaran rancangan itu akan memaksa orang awam memasuki zon ketenteraan untuk mendapatkan bantuan, sekali gus mendedahkan mereka dan petugas kemanusiaan kepada risiko keselamatan.
Ia juga berpotensi menyebabkan golongan rentan, termasuk orang kurang upaya tidak mendapat bantuan serta mencetuskan lebih banyak pemindahan secara paksa.
PBB menegaskan ia hanya boleh menyokong mekanisme bantuan menepati prinsip kemanusiaan sejagat, iaitu kemanusiaan, keadilan, kebebasan dan berkecuali.
Israel menyekat sepenuhnya kemasukan bantuan ke Gaza sejak awal Mac lalu, termasuk bekalan makanan, air bersih dan ubat-ubatan.
Pegawai PBB memberi amaran orang awam kini kelaparan dan hospital tidak mampu merawat mereka yang sakit serta cedera.
Israel mendakwa sekatan itu bertujuan memberi tekanan kepada kumpulan pejuang Palestin, Hamas supaya membebaskan baki tawanan.
PBB turut menegaskan undang-undang antarabangsa melarang hukuman kolektif dan mewajibkan kuasa pendudukan menjaga kebajikan orang awam di wilayah didudukinya.