
Polis Sivil Rio de Janeiro dan Kementerian Kehakiman berkata, rancangan serangan itu dipercayai didalangi sebuah kumpulan yang dikenali menyebarkan kebencian terhadap kanak-kanak dan remaja.
Siasatan turut mendapati kumpulan itu menggalakkan kegiatan radikal dalam kalangan remaja, perbuatan mencederakan diri sendiri selain menyebarkan kandungan ganas termasuk berkaitan pedofilia dan jenayah kebencian.
Menurut pihak berkuasa, rancangan itu dilihat sebagai satu ‘cabaran media sosial’, dengan penganjur merekrut peserta termasuk remaja untuk melaksanakan serangan.
Operasi dinamakan ‘Fake Monster’ itu, merujuk nama gelaran peminat Lady Gaga ‘Little Monsters’, membawa kepada serbuan di beberapa bandar raya Brazil termasuk Sao Paulo dan Rio de Janeiro, menyaksikan penahanan seorang lelaki dan seorang remaja serta rampasan peranti elektronik dan bahan berkaitan.
Suspek dipercayai merancang menggunakan bahan letupan buatan sendiri dan bom botol untuk menyerang acara itu.
Konsert yang merupakan sebahagian jelajah promosi album studio kelapan Lady Gaga, Mayhem, disifatkan sebagai persembahan terbesar dalam kerjaya penyanyi berkenaan, dibiayai oleh Rio de Janeiro sebagai sebahagian daripada kempen pemulihan ekonomi.
Ia juga menandakan kemunculan semula Lady Gaga di Brazil selepas lebih sedekad, susulan pembatalan konsertnya pada 2017 atas faktor kesihatan.
Lady Gaga bukan artis besar pertama yang mengadakan konsert percuma di Rio. Madonna juga mengadakan konsert dibiayai bandar raya itu di pantai sama pada Mei 2024.