
“Tindakan ini mencerminkan ketegasan kerajaan terhadap keputusan TikTok yang hanya menyerahkan data tidak lengkap mengenai aktiviti TikTok Live ketika rusuhan antara 25 hingga 30 Ogos lalu,” kata Ketua Pengarah Pemantauan Ruang Digital Kementerian Komunikasi dan Hal Ehwal Digital, Alexander Sabar dipetik agensi berita Antara.
TikTok sebelum ini menggantung fungsi penstriman langsungnya sepanjang tempoh protes Ogos lalu sebagai sebahagian langkah keselamatan.
Menurut Sabar, keputusan membekukan lesen itu susulan keengganan syarikat terbabit mendedahkan data berkaitan maklumat trafik serta pengewangan aktiviti penstriman langsung di tengah-tengah dakwaan kandungan perjudian dalam talian semakin meningkat di platform itu.
“Kami telah memanggil TikTok untuk penjelasan langsung pada 16 Sept lalu dan menggesa mereka menyerahkan data lengkap selewat-lewatnya 23 Sept.
“Namun, TikTok enggan berbuat demikian atas alasan polisi serta prosedur dalaman penggunaan data.”
Jelasnya, permintaan kerajaan berdasarkan peraturan mewajibkan platform memberi akses kepada pihak berkuasa terhadap sistem dan data bagi tujuan pemantauan.
Jakarta sebelum ini turut mengenakan denda hampir USD900,000 ke atas TikTok bulan lalu atas kelewatan melaporkan pengambilalihan pasaran dalam talian Tokopedia.