
“Saya tidak bersalah terhadap perkara disebut di sini,” kata Maduro kepada Hakim Amerika Syarikat (AS), Alvin Hellerstein, menurut beberapa laporan.
Ketika ditanya pengakuannya oleh Hellerstein, Flores turut memberikan jawapan sama: “Tidak bersalah sama sekali.”
Hellerstein menasihati Maduro dan Flores, mereka mempunyai hak untuk lawatan konsular dan pasangan itu berkata mereka mahu berbuat demikian. Buat masa ini, mereka tidak memohon ikat jamin.
Maduro berdepan empat pertuduhan mengetuai konspirasi narko-keganasan selama beberapa dekad bagi membanjiri AS dengan kokain.
Pendakwa raya AS mendakwa Maduro berkoordinasi dengan kumpulan bersenjata dan pegawai kanan kerajaan untuk memudahkan penyeludupan kokain berskala besar, menggunakan institusi negara bagi menyokong operasi dadah.
Pertuduhan itu didedahkan selepas Maduro dipindahkan ke New York Sabtu lalu susulan operasi ketenteraan AS semalaman yang membawa kepada penahanannya. Beliau kini dalam tahanan persekutuan di sebuah fasiliti penahanan di Brooklyn.
“Saya ditangkap di rumah saya di Caracas, Venezuela,” kata Maduro yang mendakwa beliau “diculik” AS.
Barry Pollack, peguam mewakili Maduro yang mula menyediakan hujah pembelaan bagi mencabar kesahihan penahanan Maduro berkata, “timbul persoalan berhubung kesahihan penculikan ketenteraannya”.
Hellerstein menetapkan 17 Mac tarikh prosiding seterusnya untuk Maduro.