3 maut letupan bom, pergaduhan pascapilihan raya di Bangladesh

3 maut letupan bom, pergaduhan pascapilihan raya di Bangladesh

Sekurang-kurangnya dua terbunuh dalam satu letupan di daerah Chapainawabganj pada awal pagi Sabtu.

mayat
Seorang lelaki terbunuh di daerah Munshiganj pada Jumaat malam dalam pertembungan antara puak saingan Parti Nasionalis Bangladesh susulan kemenangan parti itu dalam PRU. (Gambar Pixabay)
DHAKA:
Letupan bom serta pergaduhan meragut tiga nyawa di Bangladesh pada Jumaat dan Sabtu susulan pilihan raya Parlimen negara itu pada Khamis, menurut polis, lapor Xinhua.

Sekurang-kurangnya dua terbunuh, manakala tiga lagi cedera dalam satu letupan di daerah Chapainawabganj, kira-kira 302km barat laut ibu negara Dhaka, pada awal pagi Sabtu.

Pegawai polis tempatan, Md Nure Alam memberitahu wartawan, letupan berlaku kira-kira 5 pagi waktu tempatan ketika bom buatan sendiri, yang dikenali penduduk tempatan sebagai “cocktail” dihasilkan di sebuah rumah di kampung berkenaan.

Letupan itu menyebabkan dinding bata rumah berkenaan runtuh dan bumbung zinknya tercabut, katanya sambil menjelaskan pihak berkuasa sedang mengenal pasti mangsa korban dan cedera.

Dalam satu lagi insiden keganasan pascapilihan raya, seorang lelaki terbunuh di daerah Munshiganj, kira-kira 30km dari Dhaka, pada Jumaat malam.

Mangsa maut akibat kecederaan dialami dalam pertembungan antara puak saingan Parti Nasionalis Bangladesh susulan kemenangan parti itu dalam PRU, menurut Ketua Polis Munshiganj, Md Menhajul Alam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.