
Menjawab soalan ABC sama ada Amerika Syarikat (AS) meminta sokongan tentera laut Australia, King berkata, beliau tidak tahu berhubung permintaan sedemikian.
“Kami tidak akan bantu. Saya tidak tahu jika ada permintaan (untuk itu).
“Kami sudah bersedia mengharungi krisis ekonomi yang berlaku akibat krisis Asia Barat, tetapi kami tidak bercadang mengerah kapal (tentera laut),” katanya pada Isnin.
Kenyataannya menyusul seruan Presiden AS, Donald Trump supaya sekutunya membantu mengamankan Selat Hormuz, laluan perkapalan global utama untuk sebahagian besar minyak dunia, menjadikannya amat penting bagi pasaran tenaga antarabangsa.
Selat Hormuz menjadi pusat kebimbangan pasaran tenaga sejak Kor Pengawal Revolusi Islam mengumumkan penutupan selat itu kepada kebanyakan kapal susulan serangan AS-Israel ke atas Iran bermula 28 Feb lalu.
Sebelum konflik tercetus, kira-kira 20 juta tong minyak melintasi selat itu setiap hari. Gangguan terhadap laluan air itu menyebabkan lonjakan harga minyak.
Serangan AS-Israel ke atas Iran setakat ini meragut kira-kira 1,300 nyawa, termasuk pemimpin tertinggi Iran ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei.
Iran bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu menyasarkan Israel, Jordan, Iraq serta negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS.