AS bantu tangani kesesakan trafik kapal Selat Hormuz, kata Trump

AS bantu tangani kesesakan trafik kapal Selat Hormuz, kata Trump

Presiden AS berkata 'Iran boleh mula proses bina semula'.

Strait of Hormuz
Presiden AS Donald Trump sifat gencatan senjata sebagai perkembangan positif, selain menggambarkan ‘keuntungan besar akan diraih’ terutama melibatkan Selat Hormuz. (Gambar Reuters)
WASHINGTON:
Amerika Syarikat (AS) akan membantu menangani kesesakan trafik perkapalan di Selat Hormuz, kata Presiden Donald Trump susulan persetujuan gencatan senjata dua minggu yang baru dicapai dengan Iran, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Banyak perkembangan positif akan berlaku! Keuntungan besar akan diraih. Iran boleh memulakan proses pembinaan semula,” katanya menerusi platform Truth Social miliknya.

“Kami akan menyediakan pelbagai bekalan dan mengekalkan kehadiran di kawasan itu bagi memastikan semuanya berjalan lancar,” tambahnya.

Sebelum mengumumkan pada Selasa bahawa beliau bersetuju menangguhkan pengeboman dan serangan terhadap Iran selama dua minggu, Trump memberi tempoh kepada Iran sehingga 8 malam Waktu Timur (0000 GMT Rabu) untuk membuka semula Selat Hormuz dan mencapai persetujuan atau berdepan serangan terhadap infrastruktur tenaganya.

Beliau menyifatkan detik itu sebagai potensi ‘Zaman Keemasan Asia Barat’ dan memberi isyarat penglibatan berterusan AS bagi menjamin keselamatan laluan maritim penting berkenaan.

Ketegangan serantau semakin memuncak sejak AS dan Israel melancarkan serangan bersama terhadap Iran pada 28 Feb lalu yang setakat ini mengorbankan lebih 1,400, termasuk Pemimpin Agung ketika itu Ayatollah Ali Khamenei.

Iran bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu menyasarkan Israel serta Jordan, Iraq, dan negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS. Negara itu juga mengehadkan pergerakan kapal melalui Selat Hormuz.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.