
Jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baghaei, berkata proses diplomatik itu bergantung pada kesediaan AS menunjukkan ‘kesungguhan dan niat baik’, selain mengiktiraf ‘hak dan kepentingan sah’ Iran.
“Kejayaan proses diplomatik ini bergantung pada kesungguhan dan niat baik pihak lawan, tidak mengemukakan tuntutan berlebihan dan menyalahi undang-undang, serta menerima hak dan kepentingan sah Iran,” kata Baghaei.
Dalam kenyataan dimuat naik X, beliau berkata rundingan di Islamabad berlangsung tanpa henti sejak awal Sabtu, dengan kedua-dua pihak saling bertukar pelbagai mesej dan draf teks.
Baghaei berkata, perkara dibincangkan merangkumi Selat Hormuz, program nuklear Iran, pampasan perang, pelonggaran sekatan dan ‘penghentian sepenuhnya perang terhadap Iran dan di rantau itu’.
Beliau juga berkata, Tehran tidak pernah melupakan apa disifatkannya ‘niat tidak baik’ AS dan rekod negara itu yang mungkir janji, selain tidak akan memaafkan ‘jenayah keji’ dilakukan Washington dan Israel, dalam perang baru-baru ini.
Sementara itu, Fars News Agency menolak laporan media Barat yang mendakwa berlaku ‘ketegangan serius’ antara delegasi Iran dan AS semasa rundingan berkenaan.
Pakistan menjadi tuan rumah rundingan itu, yang dilihat sebagai rundingan langsung paling penting antara Iran dan AS sejak 1979, ketika gencatan senjata rapuh selama dua minggu yang diumumkan awal minggu ini masih berkuat kuasa.