
Presiden Pengarah Kereta Api Indonesia (KAI), Bobby Rasyidin, dalam kenyataan berkata data terkini merekodkan 14 kematian, dengan mayat mangsa dibawa ke Hospital Polis Kramat Jati di Jakarta untuk proses pengecaman.
Beliau berkata, pos kecemasan dan maklumat dibuka di Stesen Bekasi Timur bagi membantu keluarga mendapatkan maklumat mangsa serta penumpang, dengan perkhidmatan tren di stesen terbabit masih digantung.
Insiden berlaku lewat malam Isnin apabila sebuah tren komuter berhenti di landasan 1 menuju Cikarang dilanggar dari belakang oleh tren jarak jauh yang tiba di landasan sama.
Sebelum ini, KAI mengesahkan semua mangsa maut adalah penumpang tren komuter, manakala semua 240 penumpang tren jarak jauh Argo Bromo Anggrek terselamat dalam nahas itu.
Sementara itu, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto diiringi Menteri Pengangkutan, Dudy Purwagandhi melawat mangsa cedera di Hospital Umum Kota Bekasi pada Selasa bagi memastikan rawatan diberikan secara optimum.
Prabowo turut menyampaikan ucapan takziah kepada mangsa dan keluarga serta menegaskan kerajaan akan menjalankan siasatan menyeluruh.
“Saya merakamkan ucapan takziah bagi pihak kerajaan. Kami akan segera menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut menekankan kepentingan meningkatkan keselamatan pengangkutan, khususnya di lintasan kereta api yang masih berisiko tinggi.
Terdahulu, Ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat Jakarta, Desiana Kartika Bahari, berkata 85 mangsa terselamat direkodkan, termasuk yang sedang menerima rawatan dan dibenarkan pulang selepas mengalami kecederaan ringan.
Katanya, pihak berkuasa terus menyelaras usaha bagi menangani kesan nahas itu.