
Pendakwa Israel memohon lanjutan tahanan selama empat hari atas dakwaan berkaitan keselamatan, kata kumpulan advokasi bagi rakyat Palestin di Israel, Adalah dalam kenyataan.
Tetapi, peguam mereka berhujah “keseluruhan proses perundangan itu pada asasnya cacat dan tidak sah”.
Menurut kumpulan itu, tiada pertuduhan dikenakan terhadap dua aktivis terbabit dan mereka masih disoal siasat pada peringkat sebelum pendakwaan.
“Abukeshek dan de Avila akan dipindahkan semula ke pusat tahanan Shikma di Israel (Ashkelon), tempat mereka terus ditahan secara berasingan.”
Aktivis itu kini melancarkan mogok lapar sebagai bantahan terhadap penahanan tidak sah serta layanan buruk terhadap mereka.
Kapal GSF diserang Khamis lalu berhampiran sebuah pulau Greece, kira-kira 600 batu nautika dari destinasi mereka di Semenanjung Gaza yang terjejas akibat sekatan.
Kapal pertama flotila itu yang membawa bantuan kemanusiaan berlepas dari Barcelona 12 April lalu, manakala armada utama bertolak dari Pulau Sicily di Itali pada 26 April bagi memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza selama bertahun-tahun.
Israel mengenakan sekatan ketat ke atas Semenanjung Gaza sejak 2007, menyebabkan 2.4 juta penduduk wilayah itu berada di ambang kebuluran.
Tentera Israel melancarkan serangan ke atas Semenanjung Gaza sejak Oktober 2023 yang mengorbankan lebih 72,000 orang, mencederakan lebih 172,000 dan menyebabkan kemusnahan besar di wilayah dikepung itu.