
Dalam kenyataan kepada Al Jazeera, al-Hayya berkata, seorang individu bernama Hamza al-Sharbasi terbunuh dalam serangan di kawasan kejiranan Daraj di Bandar Gaza, manakala anaknya, Azzam dan beberapa individu lain cedera parah.
Al-Hayya menyifatkan serangan itu sebagai lanjutan pencerobohan Israel terhadap rakyat dan mendakwa ia usaha Israel menekan perunding Palestin menerusi “pembunuhan, keganasan dan ugutan”.
Tegasnya, mesej politik di sebalik serangan itu ialah memaksa perunding dan pemimpin Palestin tunduk dengan memberi isyarat mereka serta anak tidak terkecuali menjadi sasaran.
Walaupun tidak mengesahkan secara jelas sama ada anaknya menjadi sasaran, al-Hayya berkata, Israel “mengaku bertanggungjawab apabila operasi berjaya dan mencipta pelbagai alasan apabila gagal”, sambil menambah pembunuhan bersasar menjadi kejadian harian di bawah dasar ugutan sistematik.
Jelasnya, serangan sedemikian tidak akan mematahkan semangat rakyat Palestin untuk meninggalkan tanah mereka dan menyerah kalah.
Al-Hayya turut menuduh Israel gagal mematuhi fasa pertama perjanjian gencatan senjata, dengan lebih 850 rakyat Palestin terbunuh sejak tujuh bulan lalu dan ribuan lagi cedera di tengah-tengah kebuluran sistematik serta sekatan penghantaran bantuan.
Beliau berkata, Hamas menyerahkan laporan harian pelanggaran gencatan senjata kepada pihak pengantara dan penjamin, selain menggesa Amerika Syarikat menekan Israel melaksanakan perjanjian itu.
Kenyataan itu menyusul beberapa jam selepas lima rakyat Palestin, termasuk seorang anggota polis terbunuh, manakala beberapa lagi cedera dalam serangan Israel menyasarkan perhimpunan orang awam dan sebuah kenderaan polis di utara serta selatan Gaza, ketika pelanggaran gencatan senjata berterusan.
Hamas pada Rabu menuduh Israel meningkatkan serangan di Gaza dan menggesa AS serta negara pengantara campur tangan bagi menghentikan serangan itu.
Perjanjian gencatan senjata yang dimeterai di Sharm el-Sheikh di bawah tajaan Mesir, AS, Qatar dan Turki berkuat kuasa 10 Okt 2025.