
Ini kenyataan pertama memperincikan keadaan kesihatan pemimpin agung itu dan situasi yang dihadapinya semasa serangan ketika perang.
Menurut Agensi Berita Fars Iran, Ketua Pengarah Protokol di pejabat pemimpin agung, Mazaher Hosseini, berkata Mojtaba cedera dalam serangan yang menyasarkan kompleks itu pada 28 Feb lalu, ketika pemilihannya sebagai pemimpin agung belum diputuskan.
Hosseini berkata, beliau berada di kompleks terbabit ketika serangan berlaku dan beberapa lokasi berhampiran turut menjadi sasaran serangan, termasuk tempat beberapa pegawai kanan Iran — antaranya Ali Khamenei, pemimpin agung ketika itu yang juga bapa Mojtaba — terkorban, lapor Fars pada lewat Jumaat.
Menurutnya, ketika serangan berlaku, Mojtaba tidak berada di kawasan biasanya beliau menyampaikan syarahan dan lokasi itu kemudiannya “musnah” dalam pengeboman berkenaan.
Jelasnya, kediaman Mojtaba juga menjadi sasaran serangan, dengan isterinya dan beberapa individu lain terkorban dalam serangan itu.
Beliau berkata, Mojtaba terjatuh ke lantai susulan gelombang letupan ketika menuju ke kediaman itu dan cedera pada tempurung lutut serta bahagian bawah belakang badan.
“Kecederaan belakangnya semakin pulih dan tempurung lutut juga akan sembuh tidak lama lagi. Beliau dalam keadaan sihat sepenuhnya,” kata Hosseini dipetik Fars.
Beliau turut menepis spekulasi Mojtaba cedera di dahi, sebaliknya berkata hanya terdapat “kecederaan kecil di belakang telinga” yang telah dirawat.
Katanya, musuh Iran sedang cuba mendapatkan rakaman audio, video atau bahan lain berkaitan Mojtaba “untuk mengambil tindakan terhadapnya”.
Tambahnya, Mojtaba akan tampil untuk berucap kepada rakyat pada “masa sesuai”.
Mojtaba dipilih sebagai pemimpin agung pada 9 Mac lalu selepas bapanya, Ali Khamenei maut dalam serangan AS-Israel 28 Feb lepas. Sejak memegang jawatan itu, beliau hanya berkomunikasi menerusi kenyataan bertulis.
Ketegangan serantau meningkat selepas AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Feb, sekali gus mencetuskan serangan balas Tehran serta gangguan di Selat Hormuz, laluan penting bagi penghantaran minyak dan gas global.
Gencatan senjata mula berkuat kuasa 8 April lalu menerusi pengantaraan Pakistan, namun rundingan pusingan pertama di Islamabad pada 11 April gagal mencapai perjanjian berkekalan. Gencatan itu kemudian dilanjutkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump tanpa tempoh akhir ditetapkan.
Sejak 13 April lalu, AS melaksanakan sekatan laut yang menyasarkan trafik maritim Iran di laluan strategik itu.