
Perbincangan antara kedua-dua pihak dijangka memfokuskan isu perdagangan, perang Iran dan penjualan senjata AS kepada Taiwan.
Ini merupakan lawatan rasmi pertama presiden AS sedang berkhidmat ke China sejak kunjungan Trump pada 2017, semasa penggal pentadbirannya terdahulu.
Turut menyertai lawatan itu ialah beberapa tokoh korporat utama AS yang mahu menyelesaikan isu perdagangan dan perniagaan dengan China, termasuk Elon Musk serta Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang.
Trump sebelum ini berkata, permintaan pertamanya kepada Xi ialah untuk China “membuka” lebih banyak ruang kepada industri AS.
Sidang kemuncak penuh istiadat itu bermula di Dewan Besar Rakyat di Beijing, apabila Xi menyambut Trump di atas permaidani merah, dengan kedua-dua pemimpin berjabat tangan dan tersenyum mesra.
Tentera China berkawad sambil diiringi lagu revolusi, manakala murid sekolah yang mengibarkan bendera AS dan China bersorak ketika kedua-dua pemimpin berjalan melepasi mereka.
“Anda pemimpin yang hebat. Kadang-kadang orang tidak suka saya katakannya, tetapi saya tetap luahkannya.
“Ada pihak kata ini mungkin sidang kemuncak terbesar pernah diadakan. Satu penghormatan untuk bersama anda dan menjadi sahabat anda.
“Hubungan antara China dan AS akan menjadi lebih baik berbanding sebelum ini,” kata Trump kepada Xi di depan delegasi kedua-dua negara.
Xi pula memberitahu Trump, kejayaan sesebuah negara harus dilihat sebagai peluang kepada negara lain, manakala hubungan stabil antara Beijing dan Washington membawa manfaat kepada dunia.
“Apabila kita bekerjasama, kedua-dua pihak mendapat manfaat; apabila kita berkonfrontasi satu sama lain, kedua-dua pihak menderita,” kata Xi.
Dinamik hubungan berubah
Penganalisis melihat dinamik hubungan Washington dan Beijing kini berubah berbanding lawatan Trump pada 2017, apabila China berusaha memberi layanan istimewa kepada Trump dan membeli barangan AS bernilai berbilion dolar, kata penasihat kanan hubungan AS-China di International Crisis Group, Ali Wyne.
Ketika itu, “China cuba meyakinkan AS tentang kedudukannya yang semakin meningkat…Kali ini, AS sendiri, tanpa diminta mengiktiraf kedudukan itu”.
Beliau merujuk tindakan Trump menghidupkan semula istilah “G2”, iaitu dua kuasa besar, ketika bertemu Xi di luar Sidang Kemuncak Apec di Korea Selatan pada Oktober lalu.
Pertemuan kali ini akan memberi ruang besar kepada dua pemimpin itu berinteraksi.
Selepas rundingan di Dewan Besar Rakyat, mereka dijadualkan melawat Tapak Warisan Unesco, Temple of Heaven dan menghadiri jamuan negara pada Khamis, sebelum minum teh dan makan tengah hari bersama pada Jumaat, menurut Rumah Putih.
Trump menyertai rundingan itu dalam keadaan tertekan selepas mahkamah AS mengehadkan keupayaannya mengenakan tarif terhadap China dan negara lain.
Konflik Iran turut menyebabkan inflasi domestik meningkat dan menambah tekanan politik terhadap Parti Republikan menjelang pilihan raya pada pertengahan penggal November ini.
Walaupun ekonomi China turut perlahan, Xi dilihat tidak berdepan tekanan politik atau ekonomi seperti Trump.
Namun, kedua-dua pihak dilihat mahu mengekalkan gencatan perdagangan yang dicapai Oktober lalu, apabila Trump menggantung tarif tinggi terhadap barangan China dan Beijing pula mengendurkan sekatan eksport nadir bumi.
Selain perdagangan, kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan pelaburan, kecerdasan buatan serta usaha mengekalkan kestabilan ekonomi global.
Washington mahu meningkatkan eksport pesawat Boeing, produk pertanian dan tenaga ke China bagi mengurangkan defisit perdagangan, manakala Beijing berharap AS melonggarkan sekatan terhadap eksport cip dan teknologi semikonduktor canggih, kata pegawai terbabit dalam perancangan itu.
Isu Iran, Taiwan jadi tumpuan
Selain hal ehwal perdagangan, Trump juga dijangka menggesa China memainkan peranan lebih aktif memujuk Iran mencapai perjanjian dengan Washington bagi menamatkan konflik semasa.
Bagaimanapun, penganalisis meragui kesediaan Beijing memberi tekanan besar terhadap Tehran kerana Iran dianggap rakan strategik penting kepada China.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio memberitahu Fox News di atas pesawat Air Force One, menjadi kepentingan China untuk membantu menyelesaikan krisis itu kerana banyak kapalnya terkandas di Teluk dan kelembapan ekonomi global akan menjejaskan pengeksport China.
Pada masa sama, isu penjualan senjata AS kepada Taiwan dijangka antara fokus utama Xi.
China sekali lagi menegaskan bantahan terhadap cadangan pakej penjualan senjata AS bernilai USD14 bilion kepada Taiwan yang masih menunggu kelulusan Trump.
“Trump sebenarnya tidak mempunyai banyak kad untuk dimainkan. Tetapi saya tidak fikir Trump melihat keadaan itu sedemikian.
“Saya tidak fikir Trump akan membiarkan Beijing meminta apa sahaja yang mereka mahu dan kemudian AS membuat sebarang konsesi diminta Beijing,” kata penolong felo penyelidik di Academia Sinica Taiwan, Ronan Fu.
Xi dijangka mengadakan lawatan balas ke AS akhir tahun ini, yang akan menjadi kunjungan pertamanya ke negara itu sejak Trump kembali berkuasa pada 2025.