
Berucap pada mesyuarat kebangsaan membabitkan gabenor wilayah pada Rabu, beliau berkata, kaedah yang digunakan untuk mentadbir negara sebelum ini tidak lagi mencukupi untuk menangani cabaran semasa.
“Adalah perlu untuk mengguna pakai pendekatan baharu dan merangka penyelesaian kreatif bagi mengatasi masalah,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan Agensi Berita Fars.
Pezeshkian memberi amaran Iran boleh berdepan kesukaran lebih besar jika pihak berkuasa gagal melaksanakan perancangan tepat bagi menguruskan penggunaan air, elektrik, gas dan petrol.
“Kita perlu mengajak rakyat bekerjasama dalam usaha penjimatan dan pengurusan penggunaan supaya negara dapat mengharungi keadaan semasa dengan bermaruah dan kukuh.”
Beliau berkata, jika kaedah terdahulu saja mampu menyelesaikan masalah negara, banyak isu sudah lama diselesaikan.
Sementara itu, Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Qalibaf mengakui kesukaran ekonomi semakin meningkat menerusi mesej audio di Telegramnya.
Katanya, rakyat Iran bertahan dalam apa yang disifatkannya sebagai peperangan dicetuskan Amerika Syarikat dan Israel kira-kira 80 hari, tetapi berdepan masalah ekonomi serta kenaikan kos sara hidup dalam kehidupan harian sejak beberapa minggu ini.
Beliau merujuk lonjakan harga barangan keperluan termasuk beras, ayam, telur dan daging, selain penurunan kuasa beli serta peluang pekerjaan semakin berkurangan.
“Saya sedar mengenai kenaikan harga mendadak di pasaran bagi barangan keperluan, khususnya peningkatan harga beberapa bahan makanan.”
Qalibaf turut memberi amaran walaupun hampir sebulan keadaan relatif tenang di medan ketenteraan, “musuh” Iran tidak meninggalkan matlamat ketenteraan mereka dan sedang melaksanakan apa yang disifatkannya sebagai fasa baharu tekanan melalui langkah ekonomi serta politik.