Trump dakwa Israel, Hizbullah capai persefahaman henti serangan di Lubnan

Trump dakwa Israel, Hizbullah capai persefahaman henti serangan di Lubnan

Presiden Amerika Syarikat berkata beliau diberi jaminan oleh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu bahawa Tel Aviv tidak akan hantar tentera ke Lubnan.

Israel terus melancarkan serangan ke atas Lubnan meskipun gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 17 April dilanjutkan selama 45 hari susulan rundingan tidak langsung dengan pengantaraan Amerika Syarikat. (Gambar EPA Images)
WASHINGTON:
Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata pada Isnin bahawa Israel dan kumpulan Hizbullah di Lubnan mencapai persefahaman untuk menghentikan serangan terhadap satu sama lain, lapor Anadolu Ajansi.

Trump menerusi platform media sosial Truth Social berkata beliau mengadakan ‘perbualan yang sangat produktif’ dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan menerima jaminan bahawa Tel Aviv tidak akan menghantar tentera ke ibu negara Lubnan, Beirut.

“Tiada tentera akan dihantar ke Beirut, dan mana-mana tentera yang sedang dalam perjalanan sudah diarahkan berpatah balik,” kata Trump.

Presiden AS itu berkata menerusi perantara kanan, beliau telah berhubung dengan Hizbullah dan memperoleh komitmen untuk menghentikan permusuhan.

“Begitu juga, menerusi wakil peringkat tinggi, saya mengadakan perbualan yang sangat baik dengan Hizbullah, dan mereka bersetuju bahawa semua tembakan akan dihentikan — Israel tidak akan menyerang mereka, dan mereka tidak akan menyerang Israel,” katanya.

Israel terus melancarkan serangan ke atas Lubnan meskipun gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 17 April dilanjutkan selama 45 hari susulan rundingan tidak langsung dengan pengantaraan AS.

Serangan Israel sejak 2 Mac telah mengorbankan lebih 3,400 orang di seluruh negara itu, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.