Hubungan rakyat Malaysia dan negara Korea Selatan

Hubungan rakyat Malaysia dan negara Korea Selatan

Walaupun berbeza bahasa dan budaya, Korea Selatan dilihat sebagai negara yang dekat dengan hati rakyat Malaysia.

Korea Selatan merupakan sebuah negara yang sangat popular sejak 5 hingga 10 tahun kebelakangan ini. Kepopularitian Korea Selatan turut menarik minat ramai rakyat Malaysia untuk melancong ke negara tersebut.

Jauh daripada elemen ‘mainstream’ yang diuar-uarkan untuk menarik pelancong ke sesebuah negara, Korea Selatan mempunyai tarikan dan sebab tersendiri ia menjadi negara pelancongan pilihan rakyat Malaysia.

Bayangkan, ia bukan berada dalam benua Nusantara Melayu untuk kita merasai kemesraan yang dekat, rakyatnya bukan majoriti Islam, malah mereka mempunyai budaya yang jauh berbeza. Namun, sejak kebelakangan ini, ramai rakyat Malaysia yang memilih negara ini sebagai ‘lokasi percutian mereka’. Nak tahu mengapa, jom ikuti artikel ini.

Muzik dan drama Korea

Muzik K-Pop memang sangat digemari oleh remaja di seluruh dunia termasuk Malaysia. Kemunculan kumpulan-kumpulan muzik K-pop seperti BTS, EXO, Super Junior, Girls Generation, Big Bang dan sebagainya sangat digilai oleh remaja di Malaysia. Begitu juga dengan drama-drama Korea yang popular seperti Winter Sonata, She Was Pretty, Goblin, Descendants of The Sun, Legend of The Blue Sea, Full House dan sebagainya. Drama-drama ini menjadi faktor penarik untuk rakyat Malaysia melancong ke negara tersebut.

Pelakon atau penyanyi yang kacak dan cantik

Antara sebab kumpulan muzik dan drama Korea ini begitu popular adalah kerana dibarisi oleh para pelakon atau penyanyi yang kacak dan cantik. Rakyat Malaysia yang suka melancong ke Korea Selatan pasti berharap untuk bertemu dengan para pelakon dan penyanyi yang kacak dan cantik ini. Bagaimanapun, bukan mudah untuk bertemu dengan mereka. Hanya yang beruntung sahaja yang dapat bertemu dengan mereka.

Rancangan Running Man

Rancangan RunningMan merupakan rancangan televisyen yang paling popular di Korea Selatan. Rakyat Malaysia suka menonton rancangan ini bukan sahaja kerana barisan pengacaranya yang lucu, tetapi juga permainan yang dihadapi para pengacaranya dalam setiap episod sangat mencabar dan kreatif. Gelagat barisan pengacaranya seperti Yoo Jae Suk, Kim Jong Kook, HaHa dan sebagainya amat mencuit hati penonton. Penonton juga sentiasa ternanti-nanti selebriti kegemaran mereka menjadi tetamu dalam rancangan tersebut. Rancangan ini jugalah yang menarik minat ramai rakyat Malaysia untuk ke Korea Selatan.

Makanan yang sedap

Setiap kali apabila melihat orang Korea menikmati makanan mereka di televisyen, kita pasti akan menelan air liur. Hal ini kerana makanan mereka kelihatan amat sedap. Makanan-makanan Korea seperti Tteokbokki, Bibimbap, Jjajangmyon, Kimbap, Kimchi dan sebagainya amat membuka selera apabila kita menikmatinya. Minuman yang popular di Korea seperti susu Banana Uyu sentiasa dicari oleh rakyat Malaysia.

Tempat pelancongan yang menarik

Tidak dinafikan, Korea Selatan mempunyai banyak tempat yang menarik. Semua tempat-tempat ini dapat diketahui apabila kita menonton rancangan Running Man. Melalui rancangan tersebut, mereka memperkenalkan tempat-tempat menarik di Korea Selatan. Antara tempat menarik yang boleh dilawati ialah Myeong-dong, Gyeongbokgung, N Seoul Tower, Namiseom dan sebagainya.

Mempunyai salji

Korea Selatan merupakan negara 4 musim, salah satu daripadanya ialah musim sejuk. Semasa musim sejuk, pastilah salji akan turun. Memandangkan Malaysia bukanlah negara 4 musim, maka pergi ke Korea Selatan semasa musim sejuk pasti menyeronokan memandangkan kita boleh bermain salji. Salji juga merupakan tarikan utama rakyat Malaysia datang ke Korea Selatan.

Artikel ini disumbangkan oleh Muhammad Nurhaziq dari sayapejuangbahasa.blogspot.com

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.