Perunding imej ini pernah tegur Mat Sabu dan Syed Saddiq

Perunding imej ini pernah tegur Mat Sabu dan Syed Saddiq

Menurut Mary, seseorang individu khususnya mereka yang merupakan 'public figure' harus menjaga imej dan menjadi ikon yang berketerampilan.

Setiap kali kita berdepan seseorang, pelbagai perkara yang bermain di hati atau di minda. Adakah mereka seorang yang mesra, mudah didekati, bersifat garang, tidak banyak bercakap dan sebagainya.

Kita pasti akan membuat kesimpulan pandangan pertama daripada cara mereka bertindak balas, jika senyum maka mesra, jika mereka berpeluk tubuh maka seorang yang mementingkan privasi, memakai cermin mata bulat selaku seorang yang bijak dan sebagainya.

Bagaimana kita membuat andaian ini? Ia namanya analisa imej yang dilakukan secara sendiri dalam memahami ataupun mendekati seseorang.

Tetapi tahukah anda kewujudan kerjaya “perunding imej”, yang bukan bertujuan menilai atau menghakimi orang sebaliknya lebih bersifat membantu seseorang untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran dan keperluan kerjaya atau individu itu sendiri.

Terbaru FMT Ohsem berpeluang bertemu seorang penganalisa imej Mary Anni Masarip atau lebih dikenali sebagai Puan Mary di laman sosial.

Bagi mereka yang tidak mengenali Puan Mary, beliau adalah individu yang menegur cara pemakaian Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu serta Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq dalam laman sosial beliau baru-baru ini.

Tatkala posting tersebut ramai yang mempersoal kredibiliti Mary walaupun ia dikongsi secara meluas.

Sebenarnya beliau menerima pentauliahan dan latihan intensif sebagai perunding imej antarabangsa di Singapura. Beliau melaksanakan beberapa tahap sehinggalah menjadi Perunding Kerjaya bertauliah diiktiraf dari Amerika Syarikat dan pelatih bertauliah di bawah Pembangunan Sumber Manusia Berhad dan Kementerian Sumber Manusia.

Berbual beberapa perkara mengenai imej dan personaliti, Mary ternyata tahu banyak perkara namun kata beliau ia tidak bermakna beliau mudah menghakimi seseorang.

“Saya tidak akan menghakimi seseorang hanya kerana saya seorang perunding imej. Walaupun saya ditanya nasihat atau pendapat secara umum saya tidak akan akan menghakimi mereka sebaliknya mengakui semuanya baik,” kata-kata pertama dalam temubual dengan wanita ini.

Mary yang pernah berkhidmat dalam bidang insurans dan perbankan, kini terlibat dalam bidang penyediaan modul, penganjuran kursus dan latihan berkaitan imej dan kerjaya melalui syarikat Training Cube International Sdn. Bhd. (TCISB).

Katanya beliau juga sering dihakimi oleh kenalan hanya kerana kerjayanya itu.

“Ada kawan yang tanya apa patut mereka pakai apabila saya ajak bersarapan. Ada yang tanya bagaimana saya di rumah, bersolek, bertata rias dan sebagainya.”

Menurut Mary yang berasal dari Sarawak dan kini bermaustatin di Ampang, beliau amat jelas dengan kerjayanya itu namun ramai yang tidak.

“Ramai yang keliru antara perunding imej dan pengaya fesyen iaitu ‘image consultant’ dan ‘fashion stylish’. Saya jaga imej bukan fesyen.

“Anda boleh memakai apa sahaja yang seiring dengan fesyen semasa tetapi jika anda menjaga imej, anda memilih untuk memakai pakaian yang sesuai dengan personaliti anda. Lebih kurang, itulah bezanya,” kata beliau memberi penerangan singkat mengenai kerjaya dirinya.

Jelasnya fesyen adalah kebebasan ekspresi manakala imej adalah simbol penghormatan.

Memberi nasihat rundingan kepada syarikat-syarikat korporat serta swasta, rangkaian hotel, kerajaan dan agensi-agensi kerajaan, institusi pendidikan tinggi, di dalam dan di luar negara, Mary berkata tugas seorang perunding imej meliputi 3 kategori utama iaitu penampilan, perlakuan dan komunikasi.

Mary juga aktif dalam persatuan profesional dan pernah dilantik sebagai Timbalan Presiden Komunikasi kepada Association of Image Consultants International (AICI) – sebuah pertubuhan perunding imej antarabangsa yang berkaliber dan dianggotai oleh perunding imej profesional seluruh dunia.

Beliau juga merupakan ahli profesional kepada Profesional Association of Resume Writers dan Career Coaches (PARWCC) – sebuah badan antarabangsa yang berprestij dalam bidang konsultansi kerjaya.

Kini, Mary memegang jawatan sebagai Exco Korporat kepada Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia (TAMRIN).

Sejam bersama Mary, nampaknya terlalu banyak yang boleh dipelajari mengenai mengembang dan memperbaiki imej diri bagi menarik perhatian mahupun menjadi tumpuan orang.

Mary juga banyak mengadakan bengkel-bengkel urus diri dan imej sama ada secara percuma atau bayaran minima. Paling tidak pun beliau berkongsi banyak tip dan panduan dalam laman sosial serta laman webnya.

Ikuti tips dan panduan penjagaan imej yang dikongsi oleh Mary dalam artikel akan datang di FMT Ohsem.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.