Artis digital guna imaginasi, kreativiti hidupkan mercu tanda Malaysia

Artis digital guna imaginasi, kreativiti hidupkan mercu tanda Malaysia

Tan Yong Lin, seorang jurugambar dan artis pengimejan digital berusia 25 tahun yang menghidupkannya mercu tanda tanah air menerusi imaginasi dan kreativiti.

Tan Young Lin yang juga dikenali sebagai YongL mencabar orang ramai untuk memiliki pandangan kreatif terhadap persekitaran mereka. (Gambar YongL)
PETALING JAYA:
Melihat mercu tanda negara seolah hidup adalah sesuatu yang sudah pasti akan membuat anda teruja dan inilah yang dilakukan oleh artis kelahiran Pulau Pinang, Tan Yong Lin.

Jurugambar dan artis pengimejan digital berusia 25 tahun yang lebih dikenali sebagai YongL, menjadikan mercu tanda yang cukup dekat di hati kita dan mengubah persepsi dengan paparan visual kreatifnya.

Pada awalnya dia bermula dengan menghidupkan menara Berkembar Petronas menjadikannya kapal angkasa, diikuti dengan segunung nasi lemak berlatar landskap tempatan.

Memasukkan ikan di tengah-tengah jalan selepas hujan di Kuala Lumpur dan turut mengubah semula sebuah bangunan daripada kuih lapis.

Pemuda berusia 25 dari Pulau Pinang itu adalah jurugambar dan artis pengimejan digital yang kini menetap di Cyberjaya. (Gambar YongL)

Inspirasinya untuk menghidupkan mercu tanda tersohor tercetus dari rasa cintanya kepada negara, tempat dia dilahirkan dan dibesarkan.

Matlamatnya adalah untuk menggambarkan semula Malaysia dan semua mercu tandanya secara kreatif.

Kini berpusat di Cyberjaya, YongL didorong oleh semangat dan cintanya terhadap negara.

“Saya mahu berkongsi karya saya dengan semua orang, bukan hanya rakyat Malaysia. Saya mahu seluruh dunia mengetahui tentang keindahan Malaysia,” katanya.

“Persekitaran kita kaya dengan idea dan inspirasi. Cukup mudah untuk mengabaikan perkara-perkara kecil di sekitar tetapi jika kita mendengar dengan lebih teliti dan memberi lebih perhatian kepadanya, inspirasi itu sebenarnya ada di sekeliling kita,” ujar YongL.

Salah satu karya seni kreatif pertama YongL adalah menghidupkan Menara Berkembar Petronas. (Gambar YongL)

Perjalanannya dalam bidang fotografi dan seni digital bermula pada usia 17 tahun ketika YongL berada di tahun akhir sekolah menengah.

“Saya pujuk ibu untuk membelikan kamera ketika saya berada di Tingkatan 5,” jelasnya kepada FMT.

Tambah YongL, ibu bapanya terpaksa membayar ansuran untuk kamera tersebut selama tiga tahun kerana mereka tidak mampu membelinya ketika itu.

“Saya sangat berterima kasih kepada ibu kerana mempercayai saya dan impian saya sehingga hari ini,” tambahnya.

YongL juga terinspirasi oleh makanan tempatan Malaysia dan mengimaginasi semula pemandangan tempatan dengan meletakkan hidangan popular Malaysia di atasnya. (Gambar YongL)

Sejak zaman kanak-kanak lagi, dia sudah meminati seni dan biasa menghabiskan masa dengan melukis.

Setelah menyedari fotografi akan menjadi cara yang lebih pantas untuk menjadikan visinya suatu realiti, dia bertekad untuk memiliki kameranya sendiri.

“Saya memulakan pengembaraan kreatif ini dengan lakaran dan lukisan tradisional ketika saya masih muda.

“Perlahan-lahan ia kemudiannya berkembang menjadi seni digital dan akhirnya menceburkan diri dalam bidang fotografi dan filem,” kongsi YongL mengenai perjalanan seninya kepada FMT.

YongL menjelaskan, gayanya telah berubah dengan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Dia terus berevolusi dan meluaskan seninya menyesuaikan diri dengan konsep baru itu.

Pengimejan semula bulatan jalan raya menggunakan roti canai dan teh tarik oleh YongL. (Gambar YongL)

“Saya tidak berminat untuk didefinisikan oleh satu gaya tertentu,” YongL menjelaskan bagaimana dia menggunakan seni untuk mengekspresi dirinya dengan cara yang tidak dapat diluahkan dengan kata-kata.

“Gaya saya kini lebih ‘surelistik’ dan konseptual. Ia menekankan kepada kisah di sebalik karya seni yang kadangkala pelik dan di luar dari dunia ini atau mempunyai kepentingan. Ia boleh jadi apa sahaja yang saya mahukan.”

Malah YongL pernah menerima anugerah dan hadiah untuk karya seninya yang luar biasa itu.

Di antara semua pencapaian yang pernah perolehi, terdapat dua yang baginya cukup menonjol dan paling meninggalkan kesan.

“Kemenangan yang paling signifikan bagi saya adalah pertandingan pertama yang turut menjadi permulaan kepada kerjaya saya. Ia adalah pertandingan anjuran sebuah akhbar Cina tempatan dan saya memperoleh RM30,” kenang YongL.

Namun bagi anak muda ini, pengalaman menyertai anugerah fotografi Sony World pada tahun 2015 paling tidak dapat dilupakan.

YongL mencipta karya seni ini yang diilhamkan hasil kerja keras dan dedikasi barisan hadapan ketika berdepan wabak Covid-19. (Gambar YongL)

“Ia adalah pengalaman pertama saya pergi ke negara asing bersendirian. Memang agak payah sedikit untuk meyakinkan ibu bapa tetapi akhirnya semuanya sangat berbaloi,” jelasnya.

Bagi memastikan dia tidak membebankan ibu bapanya dari segi kewangan, YongL terus mengambil bahagian dalam pertandingan di sepanjang tahun akademiknya bagi menjana pendapatan sehingga mampu membeli peralatan yang diperlukan.

Perjalanannya tidak semudah itu, “Pada mulanya ia sangat sukar kerana saya tidak mampu membeli peralatan yang diperlukan dan untuk melakukannya, saya perlu menyertai pertandingan dengan harapan akan menang dan mendapat wang hadiah untuk mengekalkan perjalanan fotografi saya,” ungkapnya lagi.

Dia bersyukur di atas peluang yang diberikan, menjelajah ke seluruh dunia untuk fotografi dan berharap dapat membawa ibu bapanya bersama suatu hari nanti.

Dengan pelancaran program vaksinasi Covid-19, YongL terinspirasi untuk mencipta semula Menara Berkembar Petronas menjadi jarum suntikan yang digunakan untuk menyuntik vaksin. (Gambar YongL)

Ketika ini, seperti kebanyakan yang lain, YongL turut berdepan cabaran perintah kawalan pergerakan yang berterusan kerana ia telah menjejaskan pekerjaannya, tetapi dia bertekad untuk kekal positif.

“Saya berharap hari-hari mendatang akan lebih baik dan tidak lama lagi saya dapat terus berkongsi karya seni saya dengan dunia dan memberi inspirasi serta menyokong mereka yang lain,” akhiri YongL.

Saksikan lebih banyak karya seni kreatif YongL di Facebook dan Instagram.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.