
Benar, kesihatan harus diutamakan tetapi bagi Robert Cheah, 72, dia sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga. Apa juga cara pun, rezeki harus dicari.
Walau dengan hanya sebelah kaki, Uncle Robert akan tetap ke premis perniagaannya di luar SENTRAL College Penang untuk menjual roti dan pastri kepada pelanggan-pelanggan setianya setiap Isnin hingga Jumaat.
Baginya, kecacatan bukan alasan untuk tidak bekerja apatah lagi di saat ekonomi merundum akibat Covid-19 ini. Menjaja di sini buat dia gembira berjumpa pelanggan setiap hari yang sentiasa menunggu. Habis jualan, dia akan menghantar pesanan kepada pelanggan yang tidak dapat ke premis niaganya dengan motor empat roda.
Menurut Uncle Robert, sebelum ini dia menjual kupon parkir tetapi apabila Majlis Bandaran Pulau Pinang (MBPP) menaik taraf jualan kupon kepada sistem digital, dia harus mencari punca pendapatan lain.
Dia kemudian beralih menjual karipap tetapi jualannya tidak seberapa sehingga seorang teman mencadangkan dia menjual roti dan pastri dari “Adventist Bakery”.
“Saya mencuba nasib dan mereka bersetuju. Dari situlah saya mula mencari tapak dan mungkin nasib saya baik, bukan saja pihak pengurusan SENTRAL College Penang membenarkan saya berniaga di sini malah, mereka menyediakan kerusi dan meja untuk saya berniaga di hadapan kolej ini.
“Setiap hari pengawal di sini akan membantu membuka premis jualan saya dan apabila habis, dia akan membantu mengemas pula,” katanya berterima kasih.

Menurut Uncle Robert, pelanggannya terdiri dari pelbagai latar belakang samada pelajar, pensyarah, pegawai takbir dan mereka yang bekerja di bank dan pejabat berdekatan.
Uncle Robert yang menjual pelbagai jenis kek dan roti ini berkata, setiap hari “Adventist Bakery” akan menghantar bahan jualan kepadanya tetapi apabila mereka tidak cukup kakitangan, dia sendiri akan ke kedai bakeri tersebut untuk mengambil produk.
Baru-baru ini rezekinya bertambah apabila seorang pengguna internet menyiarkan kisah Uncle Robert di media sosial dan pelanggan mula datang untuk membeli roti dan pastrinya.
“Saya lakukan semua ini untuk mencergaskan minda kerana saya perlu gunakan otak untuk mengira apabila pelanggan membeli roti dari saya.” jelasnya tersenyum.
Jadi, jika anda berada di kawasan ini, jangan lupa singgah ke premis jualan Uncle Robert dan cubalah rasa keenakan roti dan pastri jualannya.

Anda juga boleh membuat pesanan dua hari lebih awal di talian (013) 489 4808. Premis jualan Uncle Robert berada di luar SENTRAL College Penang dari 10.30pagi hingga 2petang, Isnin hingga Jumaat.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]