Walau tanpa tangan, Muhammad Nor tetap berusaha jual nasi lemak

Walau tanpa tangan, Muhammad Nor tetap berusaha jual nasi lemak

Jika anda berada di LRT Cheras pada waktu pagi melalui kedai serbaneka 7-Eleven, anda pasti akan menemui insan istimewa ini dengan senyuman menawan menjual nasi lemak.

Anda boleh menemui gerai Nasi Lemak Bujang, berdekatan kedai serbaneka 7-Eleven berhampiran stesen LRT Cheras.
KUALA LUMPUR:
Sempurna tubuh badan adalah anugerah yang perlu kita syukuri. Dengan kesempurnaan ini kita mampu bergerak bebas dan mencari pendapatan dengan mudah.

Lain pula buat Muhammad Nor Abdullah, 28, dilahirkan tanpa kedua belah tangan, bukan alasan untuk dia duduk diam mengharapkan bantuan. Insan istimewa ini tidak pernah menjadikan kecacatannya itu satu penyebab untuk meraih simpati.

Jika anda berada di LRT Cheras, pada waktu pagi melalui kedai serbaneka 7-Eleven, anda pasti akan menemui insan ini dengan senyuman menawan menjual nasi lemak.

Dia membeli nasi lemak dari seorang kawan dengan harga RM1 sebungkus dan menjualnya pada harga RM1.50.

“Saya membuka gerai ‘Nasi Lemak Bujang’ ini pada bulan Julai. Pada mulanya jualan agak perlahan tetapi dari masa ke semasa semakin ramai pelanggan. Mereka bukan hanya membeli nasi lemak tetapi juga memberi sokongan dan kata-kata semangat kepada saya,” ujarnya.

Menurut Muhammad Nor, dia membeli nasi lemak dari rakan dengan harga RM1 sebungkus dan menjualnya dengan harga RM1.50. Jika dia dapat menjual 30 bungkus nasi lemak, keuntungan yang diperolehi adalah RM15 sehari.

Setiap pagi, dia akan membuka gerai dari jam 7.45 pagi sehingga jualannya habis. Namun, baru-baru ini perniagaannya semakin maju jam 9 pagi, kesemua nasi lemaknya habis terjual.

‘Nasi Lemak Bujang’ Muhammad Nor.

Di gerai, kadang-kala dia dibantu oleh rakan baiknya Tengku Mahathir Tengku Mamat.

“Rakan saya ini banyak membantu. Dari menolong di gerai, dia turut membantu mempromosikan perniagaan nasi lemak saya menggunakan Facebook Live.

“Saya juga menerima pesanan daripada mereka yang ingin menyumbang nasi lemak ke rumah anak-anak yatim dan Mahathir turut membantu. Kadang-kala dia bantu mendirikan gerai,” ujar Muhammad Nor mengenai kebaikan rakannya itu.

Mahathir, rakan baik Muhammad Nor, akan membantunya di gerai apabila dia tidak sibuk.

Apabila rakannya sibuk dengan pekerjaannya, Muhammad Nor akan menguruskan sendiri pemasangan gerainya. Membawa meja dan kerusi dari rumah dengan hanya menggunakan bahu.

Bercerita mengenai nasi lemaknya, Muhammad Nor berkata, ”Selalunya saya akan menjual 30 bungkus sehari tetapi baru-baru ini ada yang membeli dalam kuantiti yang banyak.

“Malah, hari ini saya membeli 170 paket dan kesemuanya habis dijual. Ramai pelanggan yang meminta lebih banyak nasi lemak,” ujarnya tersenyum.

Menurutnya lagi, dia pernah menerima tempahan 550 bungkus nasi lemak.

“Saya bersyukur dengan jualan nasi lemak ini. Dengan keadaan fizikal saya agak sukar untuk mendapatkan pekerjaan. Tetapi perniagaan ini memberi sinar kepada saya.

“Malah, saya lebih terkejut apabila seorang rakan memberitahu bahawa nasi lemak saya telah menjadi viral.

Muhammad Nor berharap dapat membuka sebuah restauran suatu hari nanti.

“Mesej di telefon penuh dengan pertanyaan orang ramai tentang nasi lemak saya. Saya berasa sangat terharu dan amat berterima kasih di atas sokongan semua kepada perniagaan ini,” jelasnya.

Seperti peniaga lain, Muhammad Nor turut mempunyai impian tersendiri iaitu membuka restoran menjual nasi campur. Nasi lemak sudah tentu antara menunya.

“Hanya tinggal 5 bungkus?” tanya seorang pelanggan sambil mencapai kesemua nasi lemak yang tinggal.

Muhammad Nor hanya mampu tersenyum dan meminta maaf.

Anda boleh memberi sokongan kepada peniaga muda ini dengan membeli ‘Nasi Lemak Bujang’ di gerai berhampiran 7-Eleven berdekatan dengan LRT Cheras. Gerainya dibuka dari Selasa hingga Ahad.

Untuk keterangan lanjut, anda boleh layari halaman Facebook Muhammad Nor di sini atau WhatsApp di talian 017-2650700 untuk membuat pesanan lebih awal.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.