‘Butik pakaian’ untuk mangsa banjir

‘Butik pakaian’ untuk mangsa banjir

Rusnah Abu Samah, 56, mengambil langkah memastikan pakaian yang disumbang dalam keadaan baik dan menyusun pakaian itu secara teratur seperti di butik.

Pakaian di premis itu disusun rapi sama ada digantung, dilipat atau dilonggok mengikut jenisnya. (Gambar Bernama)
KUANTAN:
Setiap kali banjir melanda, pakaian terpakai adalah antara sumbangan yang dihulurkan kepada mangsa. Namun, adakala pakaian yang diberi ada sudah terlalu lusuh atau dilonggok bagai timbunan sampah.

Keadaan itu mendorong seorang pemilik rumah kebajikan Rusnah Abu Samah, 56, mengambil langkah tersendiri iaitu memastikan pakaian yang disumbang dalam keadaan baik dan seterusnya menyusun pakaian itu secara teratur seperti di butik.

“Saya mahu mereka yang datang berasa seperti berada di butik atau kedai pakaian, bebas membelek dan mencari pakaian yang berkenan di hati. Tidak semestinya kerana percuma maka cara pengendalian dibuat ala kadar,” katanya.

Mungkin kerana itulah, dua lot kedai di Pasar Besar Maran yang menjadi pusat agihan pakaian tersebut menjadi antara premis yang menerima paling ramai ‘pelanggan’ setiap hari. Mereka yang datang pasti tidak akan pulang dengan tangan kosong.

Pakaian di premis yang terletak kira-kira 80 kilometer dari sini itu sememangnya kelihatan rapi dengan pakaian disusun sama ada digantung, dilipat atau dilonggok mengikut jenisnya.

Rusnah menetapkan mereka yang ingin menghantar pakaian kepadanya perlu memastikan keadaan tidak koyak, selain dibasuh termasuk menggunakan pewangi pakaian dan dilipat dengan cermat supaya penerimanya berasa dihargai.

Walaupun telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, Rusnah tetap memeriksa setiap helai pakaian yang diterima dengan bantuan sukarelawan sebelum dibawa ke pasar berkenaan.

“Sejak banjir berlaku, kami menghabiskan antara tiga ke empat guni pakaian dalam tempoh maksimum dua hari. Bagaimanapun berkat niat bersedekah, ada sahaja kotak baharu muncul di rumah sama ada dihantar sendiri atau menggunakan perkhidmatan syarikat penghantaran menyebabkan stok sentiasa ada.

“Bukan hanya pakaian seharian, malah ada juga pakaian kerja, selimut dan akhir-akhir ini seragam sekolah yang paling mendapat sambutan ibu bapa. Kami tidak menetapkan bilangan pakaian yang boleh diambil, tetapi menekankan konsep ambil apa yang perlu kerana kita tidak tahu kesusahan mereka,” katanya.

Meskipun waktu operasi rasmi ialah 9 pagi hingga 3 petang, Rusnah berkata mereka yang datang lewat malam juga tidak dihalang daripada mengambil pakaian tersebut, asalkan memaklumkan beliau atau lot kedai berhampiran bagi meminta izin untuk membuka kanvas yang digunakan sebagai tabir premis perniagaan itu.

Berkongsi pengalaman, Rusnah berkata beliau pernah dihubungi pada tengah malam oleh mangsa banjir yang terdesak untuk mendapatkan pakaian selepas rumahnya dinaiki air secara tiba-tiba menyebabkan mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang kerana sibuk menyelamatkan diri.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.