
Pengurus Syarikat Awie Enterprise, Zuriati Sulaiman berkata, syarikatnya yang membuat produk sedia dimakan itu berhasrat ingin menjadikan produk makanan tradisional jenama Awie bukan sahaja dikenali dalam pasaran tempatan malah luar negara sekali gus meningkatkan pembelian barangan buatan tempatan.
“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada Mac tahun lepas, ada pelanggan dari Singapura sanggup datang ke sini semata-mata ingin merasai ‘lemang sushi’,” katanya.
Zuriati juga mengakui susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada Mac 2020, jualan Awie Enterprise sedikit berkurangan.
“Tetapi saya bersyukur kerana permintaan terhadap ‘lemang sushi’ dan produk makanan tradisional lain masih ada meskipun ia tidak semeriah sebelum ini,” katanya yang kini memiliki empat pekerja.
Zuriati, pemenang Anugerah Peladang Jaya Wanita Negeri Sembilan 2020 baru-baru ini, berkata perjalanan perniagaan itu bermula dengan menjual serunding ikan bilis dan popia simpul yang diusahakan secara kecil-kecilan di rumah sebelum berkembang dengan menyewa bengkel kerana permintaan semakin meningkat.
Menurut Zuriati, sejak ditubuhkan pada 2005 dengan modal permulaan sebanyak RM3,500, syarikatnya kini mampu mencatatkan nilai jualan sebanyak RM16,000 hingga RM22,500 sebulan.
Mengenai ‘lemang sushi’, produk unik itu ditawarkan dalam lima perasa iaitu durian, serunding ikan bilis, ayam, daging dan rendang daging minang, di samping merupakan antara produk yang paling laris ketika sambutan Aidilfitri, katanya.
Dia berkata Awie Enterprise juga menyasarkan jualan bernilai RM300,000 menjelang akhir 2021. Bagi menambah volum jualan serta mencapai sasaran 2021, syarikatnya sedang giat meneroka pasaran baharu menerusi platform media sosial.
Selain itu, banyak produknya kini telah berada di 23 pasar raya terkemuka AEON dan 70 buah kedai Mesra Petronas di seluruh negara.
“Operasi syarikat bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang setiap hari kecuali Ahad.
Selain itu, pelanggan juga boleh mendapatkan produk makanan ini menerusi ejen yang dilantik di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Johor, Pahang dan Pulau Pinang,” kata anak kelahiran Kuala Pilah itu.
Beliau berkata bagi pelanggan yang jauh, mereka masih boleh mendapatkan produk keluarannya secara dalam talian menerusi Facebook manakala pelanggan berhampiran boleh datang sahaja ke tempat operasi dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]