Dari syarikat besar, kini penjual kek pisang

Dari syarikat besar, kini penjual kek pisang

Kek pisang resepi nenek Chernick laris di New York.

Kek pisang Chernick paling lama terjual dalam tempoh dua minit namun biasanya ia akan habis hanya dalam satu minit saja. (Gambar Reuters)

Dia pernah bekerja dengan syarikat jenama pakaian terkenal, Ralph Lauren namun semua itu ditinggalkan demi mengejar minatnya dalam bidang makanan.

Allie Chernick, 27, adalah seorang penyunting gambar di syarikat terbabit sebelum membuat keputusan meletakkan jawatannya pada September lalu.

Namun, tindakan itu ternyata tidak sia-sia apabila perniagaan kek pisangnya semakin laris di New York, Amerika Syarikat apabila mampu menjual 500 biji kek dalam tempoh beberapa minit saja.

“Paling lama ia terjual dalam tempoh dua minit namun biasanya hanya satu minit saja. Ia agak ‘gila’,” katanya.

Rahsia perniagaannya adalah resepi turun temurun neneknya yang digunakan untuk menghasilkan kek terbabit selama bertahun-tahun dan adakala dia membuatnya untuk diberikan kepada beberapa rakan sekolej.

“Semua orang akan teruja dan sentiasa memujinya selain meminta resepi. Memikirkan bahawa saya akan memulakan perniagaan dengan resepi ini, sudah tentu saya berkata ‘tidak’.

“Saya tidak mahu memberikan resepi kepada mereka tetapi membuatnya untuk mereka,” katanya.

Chernick membuat akaun Instagram untuk mengambil pesanan kerana tidak menang tangan melayan tempahan pelanggan menerusi pesanan mesej.

Sebelum terjun ke bidang itu, dia menghasilkan kek itu sebanyak beberapa kali dan menjualnya di pasar Brooklyn pada Disember 2019.

“Ia terlalu ‘gila’ kerana habis terjual. Ketika itu mula terdetik di fikiran untuk melakukannya secara serius,” katanya.

Dia kemudiannya menyewa sebuah dapur komersil namun terpaksa menutupnya sementara akibat pandemik Covid-19.

“Agak sukar untuk menghentikannya tetapi ia masih kerja saya dan ia bukan perkara besar,” katanya.

Empat bulan selepas itu, dia membuka dapurnya semula pada musim panas lalu dan akaun Instagramnya sentiasa dihujani dengan pesanan pelanggan.

“Saya mendapat banyak tempahan dan boleh melakukan kerja ini sepenuh masa,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.