iCare gerakkan usaha bantu rakan jalanan menerusi Projek Warung RJ

iCare gerakkan usaha bantu rakan jalanan menerusi Projek Warung RJ

Selepas Chow Kit, bantuan diperluaskan ke Pelabuhan Klang.

Projek Warung RJ Pelabuhan Klang merupakan aktiviti iCare bagi menyantuni rakan jalanan yang kurang bernasib baik. (Gambar iCare)

Biarpun terpaksa menjalani ibadah puasa dalam keadaan pandemik Covid-19, kita seharusnya bersyukur kerana masih mempunyai tempat berteduh, tidur di tilam empuk dan mampu menikmati juadah berbuka serta meraikan Aidilfitri dalam keadaan selesa.

Kadangkala, nikmat yang dikurniakan Allah SWT itu membuatkan kita terlupa dengan nasib sebahagian daripada rakyat di negara ini yang tidak berpeluang merasai kehidupan biasa.

Kawasan jalanan dan ruang sempit serta gelap menjadi tempat mereka berteduh selain hanya mampu tidur dengan beralaskan kotak.

Wakil iCare sedang berbual bersama rakan jalanan di Pelabuhan Klang. (Gambar iCare)

Situasi itu yang dapat dilihat oleh Kelab Sosial dan Kebajikan Puncak Alam (iCare) ketika melakukan aktiviti kebajikan mereka, Projek Warung Rakan Jalanan (RJ) di Pelabuhan Klang, Selangor baru-baru ini.

Kelab terbabit menyantuni golongan rakan jalanan dengan mengagihkan bungkusan makanan kepada mereka pada malam 25 Ramadan lalu.

Dalam keadaan hidup dengan makan dan minum yang tidak menentu, kehadiran iCare membawa sedikit kegembiraan untuk rakan jalanan tersebut mengisi perut.

Sumbangan itu memberi seribu makna dan amat dinantikan mereka, lebih-lebih lagi daripada pasukan Kaseh yang mewakili kelab terbabit.

Mengagihkan makanan kepada rakan jalanan di Pelabuhan Klang. (Gambar iCare)

Wakilnya dikenali sebagai Ezam sempat menceritakan pengalamannya bertemu dengan beberapa rakan jalanan yang melakukan pelbagai kerja seperti tukang cuci, angkat sampah serta pengutip tin dan botol.

Setiap kali mengunjungi rakan jalanan di lorong-lorong sempit itu, hati Ezam dan pasukan Kaseh pasti terdetik, “masih adakah lagi rakan jalanan yang belum menikmati makanan?”

Tidak syak lagi, apabila tiba di sana ramai yang menanti bungkusan makanan dari pasukan ini. Ezam dan rakan-rakan disambut ceria.

“Hari ini saya belum makan nasi lagi dan terasa amat lapar, tiba-tiba abang bawa nasi untuk kami,” kata seorang rakan jalanan.

Rakan jalanan beratur untuk menerima makanan di Chow Kit, Kuala Lumpur. (Gambar iCare)

 

Makanan diagih sambil melayan satu persatu pertanyaan dari rakan-rakan jalanan, Ezam terus berbual mesra bertanya khabar bagai sahabat lama yang sudah dikenalinya sejak dulu.

“Saya kerja sebagai tukang cuci, seorang lagi angkat sampah manakala dia pula kutip tin dan botol. Biasanya kami hanya berada di sini, lepas jam 9 malam, kami mula mencari kotak,” jawab seorang RJ bila diajukan soalan tentang pekerjaannya.

Sukarelawan Projek Warung Makan Sahabat sedang memasak dan membungkus makanan untuk rakan jalanan di Chow Kit, Kuala Lumpur. (Gambar iCare)

“Kami mandi di tandas awam saja tetapi apa yang penting kami tidak mengganggu orang lain,” sampuk seorang lagi.

iCare melakukan usaha itu menerusi rakan strategik mereka yang terdiri daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kaseh, Bakewanis, Yayasan Amal, Cahaya Care dan MCG.

Mereka sebelum ini berjaya mewujudkan Warung Makan Sahabat di Chow Kit sebelum memperluaskan usaha terbabit dengan cawangan baharu di Pelabuhan Klang.

Antara aktiviti yang dilakukan Warung Makan Sahabat di Chow Kit bersama rakan jalanan. (Gambar iCare)

Matlamatnya ialah untuk mengurangkan masalah kehidupan sosial di kalangan rakan jalanan menerusi khidmat pusat sehenti yang menyediakan makanan, tempat mandi, dobi, melakukan ibadah solat, membaca al-Quran serta memeluk Islam bagi bukan Islam.

Orang ramai juga boleh membantu dan menyalurkan sumbangan untuk projek tersebut bagi membolehkan iCare menyewa sebuah kedai agar pengurusan rakan jalanan dapat dilaksanakan secara sistematik.

Sumbangan boleh dibuat ke akaun Maybank Kelab Sosial dan Kebajikan Puncak Alam (iCare) bernombor 5628-4310-0666 atau tekan link di bawah untuk sumbangan melalui FPX online di Sini.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.