Pokok Rhaphidophora Tetrasperma pecah rekod, dibida pada harga RM79,930

Pokok Rhaphidophora Tetrasperma pecah rekod, dibida pada harga RM79,930

Lelongan sengit atas talian di Trade Me, New Zealand menyaksikan pokok hiasan itu dijual pada harga paling mahal.

Pokok Rhaphidophora Tetrasperma dibida pada harga RM79,930 di laman sesawang Trade Me.

Sebuah pokok hiasan unik yang mempunyai sembilan daun mencatat rekod apabila dijual pada harga $19,297 (RM79,930) dalam ‘perang’ bidaan di sebuah laman sesawang lelong di New Zealand.

Lelongan atas talian itu begitu sengit apabila beberapa pesaing berusaha membuat bidaan dalam tempoh empat minit terakhir sebelum pembida, foliage patch berjaya memiliki pokok Rhaphidophora Tetrasperma berkenaan.

Terdapat 248 bidaan yang dilakukan oleh peminat pokok hiasan untuk memiliki spesis unik terbabit.

Jurucakap laman sesawang Trade Me, Millie Silvester berkata, pokok hiasan itu adalah tanaman paling mahal yang pernah terjual di laman sesawang itu.

“Menerusi bidaan sengit dalam tempoh beberapa minit terakhir, pokok hiasan jarang ditemui ini dilihat lebih 102,000 kali sekali gus membuktikan betapa ramainya rakyat New Zealand yang meminatinya,” katanya.

Menurutnya, harga purata yang ditetapkan untuk pokok hiasan di Trade Me melonjak daripada $24 (RM99) pada Mei 2019 kepada $57 (RM236) pada bulan lalu membabitkan pelbagai spesis tanaman jarang ditemui.

“Pokok hiasan menjadi satu trend sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan kita melihat terdapat peningkatan harga secara mendadak,” katanya.

Menurut Royal Gardens didaftar tanaman atas talian Kew, Rhapidophora Tetrasperma adalah tumbuhan yang berasal dari Thailand dan Malaysia.

Penjual pokok itu yang menggunakan nama Hurley88 berkata, ia begitu unik apabila daun ke-9 tidak berkerinting selain variasi warnanya begitu cantik.

“Setiap daun mempunyai variasi warna yang cantik manakala batangnya juga terletak cantik dalam pasu berukuran 14 sentimeter (cm),” katanya.

Akhir tahun lalu, penjual sama turut menyenaraikan pokok Monstera di Trade Me yang berjaya dijual pada harga $4,588 (RM19,005).

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.