‘Ahli Bapak Bapak Club’, tampilkan ragam dan gelagat kaum adam

‘Ahli Bapak Bapak Club’, tampilkan ragam dan gelagat kaum adam

Drama bersiri komedi romantik, ‘Ahli Bapak Bapak Club’ akan memperlihatkan bagaimana golongan lelaki, suami dan bapa moden dalam menghadapi konflik, persahabatan, kerjaya dan keluarga.

Drama bersiri ‘Ahli Bapak Bapak Club’ akan menemui anda malam ini. (Gambar Astro)

Kisah-kisah kaum hawa terutamanya golongan isteri atau ibu sering menghiasi drama tempatan, amat jarang kita menonton drama yang mengenengahkan cabaran kaum adam.

Namun, dalam drama terbaharu, ‘Ahli Bapak Bapak Club’ anda akan melihat bagaimana golongan lelaki, suami dan bapa moden menghadapi konflik, persahabatan, kerjaya dan keluarga.

Drama bersiri komedi romantik yang dibawakan oleh ‘Gempak Original Series’ ini pasti mencuit hati penonton dengan menampilkan buat pertama kalinya gandingan Aiman Hakim Ridza, Luqman Hafidz dan Steve Yap selaku peneraju utama.

Malah, penonton juga akan menyaksikan kemunculan pertama pelakon Aiman Hakim Ridza selepas bergelar bapa dan suami.

Ternyata, ‘comeback’ pada kali ini memperlihatkan sisi berbeza beliau menerusi watak Joe iaitu seorang pelakon yang sedang melalui zaman kejatuhan dan berusaha untuk memikat semula hati bekas isterinya, Hana, yang sudah semakin cantik dan popular selepas mereka berpisah.

Menurut Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad, Gempak kali ini mempertaruhkan subjek dan topik yang tidak kerap diketengahkan di kaca televisyen iaitu cabaran golongan lelaki terutamanya kaum suami dan bapa moden dalam menyeimbangkan kerjaya, keluarga, minat, keperluan peribadi dan kehidupan secara umum dalam mengharungi zaman serba mencabar ini.

“Menerusi genre komedi dan jalan cerita yang diketengahkan, kami yakin isu dan elemen- elemen yang diselitkan pasti dekat dengan penonton. Tambah menarik, jalan cerita ini dibawa dengan begitu berkesan dengan lakonan mantap oleh barisan pelakon

berpengalaman serta bakat-bakat baru yang tidak pernah ditonjolkan sebelum ini,” ujarnya.

Drama bersiri 10 episod arahan sutradara Tam Suhaimi ini, merupakan idea asal yang dicetuskan oleh tenaga kreatif Gempak dengan kerjasama syarikat produksi Global Station Sdn. Bhd.

Barisan pelakon lain yang menjayakan ‘Ahli Bapak Bapak Club’ ialah Uyaina Arshad, Maria Farida, Ziela Jalil, Fizz Fairuz dan ramai lagi.

‘Ahli Bapak Bapak Club’ bakal bersiaran pada setiap hari Rabu, jam 9.30 malam mulai 19 Mei 2021 secara eksklusif di saluran Astro Ria HD (104) serta turut boleh distrim menerusi portal Gempak, aplikasi Astro GO dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Manakala kapsul istimewa dalam format temu bual yang memaparkan pelbagai perkongsian santai pengalaman, nasihat serta tips menjadi bapa yang baik dan cool menampilkan karakter utama ‘Ahli Bapak Bapak Club’ iaitu Joe (Aiman Hakim Ridza), Bob (Luqman Hafidz) dan Nik (Steve Yap) pula akan ditayangkan pada setiap hari Rabu, jam 10.00 malam mulai 19 Mei 2021 secara eksklusif di kesemua platform digital Gempak.

Antara topik perkongsian menarik yang akan ditampilkan ialah ‘Cara Nak jadi Cool Dad’, ‘Trend Kesukaan Anak’, ‘Waktu Terbaik Untuk Me Time Seorang Bapak’ dan banyak lagi.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.