
Bagi peminat yang mengikuti akaun Instagram pelakon Catriona Ross, mereka mungkin biasa melihat gelagat lucu karakter wanita kampung bertudung senget yang bercakap loghat Pattani, Thailand bernama Kak Kek.
Selain celoteh ringan mengenai aktiviti seharian Kak Kek, dia kali ini memuat naik hantaran video terbaru untuk membuat teguran terhadap kedegilan sebahagian rakyat di negara ini ketika kes Covid-19 semakin meningkat.
Menurutnya, dia begitu kesal apabila rata-ratanya ghairah mengecam kerajaan sambil membuat tanda pagar kerajaan gagal (#kerajaangagal) sedangkan yang gagal sebenarnya adalah rakyat Malaysia kerana tidak patuh kepada prosedur operasi standard (SOP).
Katanya, perbuatan tidak bertanggungjawab jelas dilihat apabila mereka secara tiba-tiba keluar memenuhi lebuh raya utama sebaik kerajaan mengumumkan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh berkuatkuasa 1 Jun ini.
“Kak Kek sudah tidak larat untuk bertanya khabar secara ceria dan tiada mood. Ini disebabkan kita jadi tertanya-tanya mengapa semua orang berada di tahap masih tidak memahami apa yang diperkatakan kerajaan.
“Memang nak marah sebab semua yang mengatakan kerajaan gagal, hari ini Kak Kek nak kata you (awak) adalah rakyat yang gagal,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, #kerajaangagal menjadi tular di media sosial oleh pengkritik kerajaan dan netizen yang tidak berpuas hati dengan pentadbiran negara dipimpin oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mereka menyalahkan kerajaan susulan angka kes baharu Covid-19 yang dilaporkan meningkat pada setiap hari sekali gus memberi gambaran membimbangkan walaupun program vaksinasi sudah dilakukan.
Selain itu, Catriona menyifatkan individu yang mencetuskan masalah hingga berlaku penularan Covid-19 adalah ‘makhluk’ yang sangat mementingkan diri dan tidak berhati perut termasuk menjadi punca kluster perayaan Aidilfitri baru-baru ini.
“Sebenarnya semua yang buat masalah ini adalah ‘makhluk’ yang sangat mementingkan diri dan tidak berhati perut.
“Tidak cukup lagi ke ada kluster Aidilfitri. Tidak cukup ke ramai meninggal dunia akibat Covid-19,” luahnya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]