Penangan kejutan Nubhan, duit RM5,000 Mak Jenny diterbangkan belon

Penangan kejutan Nubhan, duit RM5,000 Mak Jenny diterbangkan belon

Kejutan bertukar tragedi apabila wang yang terikat pada belon tersebut terlepas dari tangan Nubhan.

Gelagat lucu Nubhan menyakat ibunya itu menerima pelbagai komen mencuit hati dari warganet selepas tular dan ditonton lebih 1 juta kali. (Gambar Facebook)

Apa perasaan anda sebagai ibu sebaik melihat wang berjumlah RM5,000 diterbangkan belon jauh ke angkasa. Terkejut, bengang, kecewa, marah, merajuk atau semua yang dinyatakan di atas.

Itulah reaksi makcik Jenny, panggilan mesra ibu kepada penyanyi dan pelakon Ahmad Nubhan Ahamad, dalam perkongsian terbaharunya di laman Facebook.

Menerusi video berdurasi lebih tujuh minit itu, Nubhan dilihat menjenguk operasi pembungkusan sambal terkenal air tangan ibunya Sambal Omak Jenny, sambil membawa kejutan dan berita gembira mengenai jualan terkini produk berkenaan.

Makcik Jenny atau nama sebenarnya Badariah Omar kemudian dibawa ke halaman rumah untuk melihat kejutan yang dimaksudkan anaknya itu apabila tiba-tiba seorang pembantu membawa keluar belon berhias yang tertulis ‘Tahniah Mak Jenny’.

Sebaik memotong reben pada belon tersebut, ia mula terapung dengan sejumlah wang RM5,000 diikat padanya.

Namun, kejutan bertukar tragedi apabila wang yang terikat pada belon tersebut terlepas dari tangan Nubhan.

Wajah ceria Mak Jenny secara automatik berubah kecewa. Pendek kata membebel Mak Jenny melihat apa yang berlaku.

Reaksi spontannya melihat duit yang tiba-tiba terbang memang lucu. Rupa-rupanya duit yang terbang itu hanyalah wang palsu bertujuan mengusik ibunya.

Nubhan kemudian mengeluarkan kotak berisi wang RM5,000 sebenar diberikan kepada ibunya berikutan kejayaan jualan Sambal Omak Jenny selama dua bulan yang mencecah RM400,000.

Gelagat dua beranak itu sarat menerima pelbagai komen dari warganet selepas tular dan ditonton lebih 1 juta kali.

Rata-rata memuji sikap nakal dan manja Nubhan yang suka menyakat ibunya serta reaksi selamba Mak Jenny yang cukup mencuit hati.

Ramai yang turut mendoakan kejayaan perniagaan serta kesihatan Mak Jenny seisi keluarga dan ada juga yang sempat mencuba nasib untuk menjadi ejen Sambal Omak Jenny.

“Tahniah Mak Jenny, moga perniagaan bertambah maju dan berkat dunia akhirat. Panjang umur sihat selalu,” doa Nor Normah Radzali.

“Lamo gak tak sebut perkataan ‘tak senegeh’ ni, orang nismilan yo paham,” kata Roszita Hashim tergelak.

“Bila mak Jenny hilang mood duit kena bawa angin. Membebel dia, padan muka Nubhan,” usik Cahaya Laila.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.