
Semua mata tertumpu kepadanya. Aksi tangkasnya memang mendebarkan apatah lagi usia yang baru 8 tahun tampak cekap bergayut pada dinding batuan setinggi 15 meter.
Dengan tubuh dan saiz tangan yang kecil, Julia Chua Hui Xi mampu bergerak dari satu sudut ke satu sudut dinding batuan itu dengan cukup mudah bagaikan atlet sukan berpengalaman. Sememangnya dia berjaya mencuri tumpuan para pengunjung di Keriang Xtreme Park di Gunung Keriang itu.
“Takut juga pada mulanya, tetapi ia menyeronokkan dan saya menikmati pemandangan,” kata kanak-kanak yang berasal dari Alor Setar ini.
Julia berkata, minat terhadap sukan ekstrem itu bermula sejak beberapa tahun lepas dan didorong oleh ibu bapanya yang turut menjadikan ‘rock-climbing’ di taman rekreasi itu sebagai aktiviti wajib pada setiap minggu.
Ibunya, Simone Chan Sze Mun, 36, berkata selain Julia, dua anaknya yang lain, Felix Chua Zhen Qianx, 7, dan Max Ezekiel Chua, 4, turut didedahkan dengan sukan itu yang menurutnya bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan mereka sekeluarga tetapi juga menerapkan nilai dan keperibadian dalam diri anak-anaknya.
“Aktiviti ini mengajar banyak nilai murni, kemahiran untuk menyelesaikan masalah bagaimana untuk memanjat di laluan, serta mengatasi ketakutan dengan berani mencabar diri,” katanya.
Julia yang pernah menyertai beberapa pertandingan memanjat dinding atau ‘wall-climbing’ pada tahun lepas turut mendapatkan latihan dengan jurulatih sukan itu, Mohamad Zamri Hamid di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah.
Menurut Mohamad Zamri, memandangkan sukan itu semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, pihaknya menerusi Persatuan Sukan Mendaki Negeri Kedah (HACCK) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah menawarkan latihan kepada kanak-kanak seawal 7 tahun.
“Setiap peserta diajar cara menggunakan peralatan keselamatan, belajar membuat ikatan dan simpulan tali yang betul serta kemahiran untuk ‘survival’ serta kepercayaan kepada individu yang memegang tali dari bawah,” katanya.
“Sukan ‘wall-climbing’ dan ‘rock-climbing’ menggunakan tali sebenarnya selamat jika mereka yang menceburi kegiatan lasak itu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]