Kampus Avengers mula dibuka kepada pengunjung

Kampus Avengers mula dibuka kepada pengunjung

Peminat boleh melihat gimik memukau dilakukan oleh robot Spider-Man selain berinteraksi dengan adiwira Marvel yang lain.

Aski-aksi yang ditonjolkan oleh adiwira popular menjadi tarikan di Kampus Avengers di Disney California Adventure Park. (Gambar Twitter)

Aksi memukau melayang di udara yang ditonjolkan oleh adiwira Marvel diminati ramai, Spider-Man menjadi salah satu tarikan kepada pengunjung Kampus Avengers di Disney California Adventure Park yang mula dibuka kepada orang ramai.

Ia sebenarnya adalah satu gimik yang dilakukan robot Spider-Man dengan melayang setinggi 18.3 meter di udara sekali gus membuatkan peminatnya lebih teruja.

Selain itu, mereka juga berpeluang mendekati adiwira lain seperti Iron Man, Black Panther dan beberapa adiwira terkenal yang menantikan kehadiran pengunjung.

Kampus Avengers yang didirikan di atas kawasan berkeluasan 2.43 hektar di Anaheim itu adalah tarikan terbaru di taman tema berkenaan yang sebelum ini ditutup akibat pandemik Covid-19.

Terdapat pelbagai permainan bertemakan adiwira Marvel di situ antaranya Web Slingers di mana pengunjung bersama Spider-Man akan bertarung untuk menumpaskan Spider-Bots.

Perekanya menjelaskan, set fizikal serta suasana alam maya yang dibangunkan akan memberikan satu pengalaman berbeza kepada pengunjung boleh melempar sarang labah-labah mereka sendiri.

Pada masa sama, watak terkenal adiwira bermula daripada Black Widow, Captain America dan Ant-Man akan berada di sekitar kawasan untuk berinteraksi dengan peminat mereka.

“Ini adalah kali pertama kami meraikan semua adiwira dan mengumpulkan mereka bersama di satu tempat,” kata Penerbit Eksekutif Portfolio di Walt Disney Imagineering, John Mauro.

Sementara itu, taman tema terbabit turut menyediakan gerai shawarma iaitu makanan yang menjadi simbolik filem Avengers pada 2012 di mana beberapa adiwira menikmatinya bersama-sama selepas berjaya menyelamatkan dunia.

Disneyland Resort itu juga merangkumi Disneyland asal dan California Adventure yang terletak bersebelahan dan ia dibuka semula kepada orang ramai pada 30 April lalu selepas ditutup lebih setahun akibat pandemik Covid-19.

Kampus Avengers pada asalnya dirancang untuk dibuka pada Julai tahun lalu dan ia dibina di atas kawasan sama yang pernah meraikan filem animasi ‘A Bug’s Life’.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.