
Gara-gara mendapat tiket Euro 2020 antara England dan Denmark di saat akhir, Nina Farooqi, 37, sanggup menipu majikannya untuk ke Stadium Wembley.
Katanya, memikirkan agak sukar untuk mendapatkan cuti di saat akhir kerana kekurangan kakitangan, dia mengambil keputusan untuk mengambil cuti sakit pada Rabu semata-mata untuk ke Wembley dengan menaiki kereta api dari Leeds.
Namun wajah penerbit kandungan digital dari Ilkley, Bradford itu, terpampang secara langsung di seluruh dunia apabila kamera TV memfokus padanya dan seorang lagi rakan yang sedang meraikan gol penyamaan England ketika menentang Denmark.
Farooqi, yang duduk di bangku penonton di belakang gol, turut muncul di Insta Story milik seorang personaliti TV, Stacey Dooley.
Dalam perjalanan pulang pada jam 6 pagi keesokan harinya, majikannya menghubungi dan memberitahu dia tidak perlu lagi bersusah payah datang ke pejabat.
“Dia melihat saya dalam perlawanan itu dan saya jujur dengan apa yang telah saya lakukan. Tetapi majikan tidak bersimpati dengan saya dan keputusan itu adalah muktamad,” katanya.
Begitupun, Farooqi bersyukur kerana rakannya dalam komuniti bola sepak tetap memberikan sokongan meskipun sudah kehilangan kerja.
“Mereka semua begitu menakjubkan dan untuk menyaksikan perlawanan akhir bersama mereka pada Ahad ini adalah sesuatu yang sangat menarik,” katanya.
Selain bertugas sebagai penyelaras kandungan digital secara sambilan, Farooqi juga adalah seorang jurugambar dan penerbit video bebas dalam arena bola sepak lelaki dan Liga Super Wanita.
Laman LinkedIn Farooqi yang mencadangkan dia bekerja secara sambilan di pelbagai syarikat, berkata dia kehilangan pekerjaan sebagai Penyelaras Kandungan Digital di firma Composite Prime di Leeds.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]