
Bagi penduduk Klang, siapa yang tidak kenal dengan nasi lemak Chong Kok, hidangan sarapan pagi wajib bagi kebanyakan penduduk di Jalan Stesen, Klang. Malah, ia mempunyai banyak memori kepada ramai pelanggannya.
Apakah kisah disebalik nasi lemak Chong Kok ini?
Tok Amin adalah pengasas kepada nasi lemak Chong Kok ini. Cintanya terhadap makanan membawa dia berhijrah dari kampung beliau di Perak ke kota Klang untuk mencari rezeki sebagai seorang peniaga pada tahun 1971.
Gerai di hadapan Kopitiam Chong Kok
Dengan berbekalkan resipi sambal sotong abangnya dan kemahiran membuat nasi lemak, Tok Amin membuka gerai kecil di hadapan sebuah kopitiam Cina di Jalan Stesen.
Benarlah Malaysia dahulu tidak sama seperti Malaysia sekarang. Semangat perpaduan berjaya mengatasi sempadan perbezaan agama dan bangsa yang memisahkan kita.
Dengan sewa yang rendah, pemilik Kopitiam Chong Kok memberikan ruang di hadapan kedai beliau kepada Tok Amin untuk berniaga.
Ternyata, peluang yang diberi tidak disia-siakan, gerai Tok Amin semakin meraih perhatian. Bilangan pelanggan beliau bertambah dan tidak lama kemudian, riuhlah seluruh Klang tentang gerai nasi lemak yang sedap di Jalan Stesen.
Setelah 46 tahun berniaga, pucuk pimpinan gerai nasi lemak di luar Kopitiam Chong Kok beralih tangan daripada Tok Amin kepada anaknya, Pak Usu Hadi.
Menurut Pak Usu, sambal sotong Tok Amin adalah rahsia nasi lemak Tok Amin terus kekal hingga kini. Rahsia keenakan sambal sotong tersebut adalah berdasarkan kesegaran sotong itu sendiri.
Kata Pak Usu, Tok Amin langsung tak menggunakan sebarang perapan dalam menyediakan sotong supaya rasa sotong itu dapat menyerap masuk ke dalam sambal dimasak.
Untuk kekal popular dalam kalangan kelompok pelanggan yang asyik berubah selama 46 tahun adalah sesuatu yang menakjubkan, khususnya bagi sebuah gerai makanan yang kecil.
Bagi Pak Usu, kelangsungan sesebuah perniagaan bukan sahaja bergantung pada gimik mahupun kelainan yang ditawarkan.
Sebagai seseorang yang membesar melihat cara pengoperasian perniagaan yang klasik, Pak Usu masih berpegang teguh pada kepercayaan bahawa rasa makanan yang konsisten membawa pelanggan setia kembali ke gerai makanan.
Oleh itu, Pak Usu cukup menitikberatkan rasa makanan khususnya, sambal yang disediakan adalah sama setiap hari. Pak Usu dilatih oleh atuk semenjak kecil lagi dan didedahkan dengan pengurusan gerai nasi lemak. Oleh sebab itulah, pegangan Atuk masih kuat dipegang dan dipertahankan oleh beliau sehingga kini.
Penyediaan masakan bermula seawal pukul 3 pagi dan Pak Usu akan pastikan setiap proses, langkah, perasa dan pembungkusan makanan dijalankan dengan penuh teliti dan berkualiti agar pelanggan yang datang setiap pagi tidak dikecewakan.
Legasi nasi lemak Tok Amin
Pak Usu melihat perniagaan ini sebagai peluang untuk mengukuhkan lagi pertalian keluarga di samping memberikan legasi yang boleh dibanggakan oleh ahli keluarga.
Pandangan ini ditonjolkan dalam Nasi Lemak Atok Amin yang bermatlamat memberikan hidangan selesa untuk dinikmati bersama keluarga pada hujung minggu atau masa senggang.
Jenama Nasi Lemak Chong Kok itu terlalu kuat untuk dikikis dan jenama itulah yang memberikan nasi lemak atok satu tempat istimewa di hati pelanggan setia nasi lemak atok.
Bagi sesiapa yang belum pernah lagi merasai Nasi Lemak Chong Kok bolehlah berkunjung ke Kopitiam Chong Kok di Jalan Stesen, Klang.
Chong Kok Kopitiam
5, Jalan Stesen, Kawasan 1
41000 Klang, Selangor
Tel: 03-3371 0996
Artikel ini telah disiarkan di butterkicap.com. Butterkicap adalah platfom dan komuniti yang menceritakan tentang makanan dan kebudayaan di Malaysia.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]