
Terengganu sememangnya terkenal sebagai tempat tumpuan membeli-belah pelbagai produk berasaskan batik dan ikan, di samping keindahan seni bina Islam serta tapak warisan bersejarah yang sentiasa dipenuhi dengan pelancong.
Sebagai antara negeri terawal menerima kedatangan ajaran agama Islam seperti yang dibuktikan melalui penemuan Batu Bersurat, Terengganu mempunyai beberapa buah masjid yang dianggarkan berusia sekitar 100 tahun.
Sememangnya tidak lengkap datang ke Terengganu sekiranya tidak berkunjung ke masjid bersejarah dan terkenal dengan seni bina Islamnya yang begitu gah di negeri itu seperti Masjid Kristal, Masjid Abidin, Masjid Hiliran dan Masjid Terapung Tengku Zaharah.
Masjid Hiliran, Masjid Abidin dan Istana Maziah merupakan tiga daripada 14 lokasi tapak warisan di Terengganu yang diwartakan sebagai Tapak Warisan Kebangsaan.
Masjid Abidin, yang turut dikenali sebagai Masjid Puteh atau Masjid Besar sebelum ini adalah antara masjid tertua di negeri Terengganu yang pada asalnya merupakan istana kayu yang didirikan oleh Almarhum Sultan Zainal Abidin II antara tahun 1793-1808.
Menurut Imam Besar Masjid Abidin Negeri Terengganu, Wan Mohd Hazim Wan Mohd Hashim, pada tahun 1852, ketika pemerintahan Almarhum Sultan Umar, masjid ini diubahsuai dengan pemasangan batu.
“Masjid ini pernah melalui beberapa proses pengubahsuaian bagi menampung jemaah yang semakin ramai, kali pertama iaitu pada tahun 1901 ketika pemerintahan Sultan Zainal Abidin III.
“Manakala, sekali lagi pada tahun 1972 di bawah pemerintahan Al-Sultan Ismail Nasiruddin Shah dengan menambah binaan sebuah menara tinggi dan beberapa buah kubah,” katanya.
Sesiapa sahaja yang melangkah masuk ke masjid ini akan berasa kagum dengan seni bina bangunan masjid serba putih dan dikatakan menggunakan cat putih telur, selain ukiran khat al-Quran di atas pintu dan sisi masjid.
Wan Mohd Hazim berkata masjid ini bersedia menerima kunjungan sesiapa sahaja yang ingin mengenali dan mempelajari tentang agama Islam secara mendalam, termasuk pelancong asing dan bukan Islam.
Masjid Hiliran turut dikenali dengan kewujudannya sejak lebih 200 tahun lalu antara zaman Sultan Terengganu pertama dari salasilah Johor iaitu Sultan Zainal Abidin I (7108-1733), Sultan Mansur I (1733-1794) dan Sultan Zainal Abidin II (1794-1808), berdasarkan catatan sejarah.
Terletak di Jalan Hiliran, di sini, selain pernah menjadi sekolah Arab yang pertama di negeri ini dan dinobatkan sebagai tapak warisan kebangsaan pada tahun 2019, Masjid Hiliran juga mempunyai keunikan tersendiri yang mungkin tidak diketahui oleh masyarakat umum.
Keunikan tersebut ialah kewujudan sebuah perigi yang dikenali sebagai Telaga Mandi Gajah Putih yang dipercayai dibina semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III (1881-1918).
Menurut cerita lisan penduduk setempat, telaga itu dibina menggunakan putih telur, madu lebah, pasir, kapur tohor dan batu-bata.
Alkisah, pembinaan telaga itu bertujuan untuk memandikan gajah putih kepunyaan Sultan Zainal Abidin III yang dihadiahkan oleh Raja Siam, Raja Chulalongkorn sebagai tanda persahabatan sempena lawatan baginda dan para pembesar negeri ke Siam.
Telaga bersejarah itu kini dikelilingi benteng konkrit dan pada dindingnya diletakkan sebuah tempayan yang digunakan sebagai tempat gajah menyedut air untuk dijiruskan ke badannya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]